Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AirAsia, pemaju prasarana Skyports teroka bina prasarana teksi udara di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia, pemaju prasarana Skyports teroka bina prasarana teksi udara di M'sia

Ilustrasi teksi udara AirAsia.

KUALA LUMPUR: Skyports Infrastructure, pemaju infrastruktur Mobiliti Udara Termaju (AMM)) terkemuka dan pasukan Mobiliti Udara Termaju AirAsia, unit khas di bawah AirAsia Aviation Group Ltd (cabang penerbangan Capital A), menandatangani Surat Hasrat bagi meneroka pembangunan infrastruktur untuk perkhidmatan teksi udara di Malaysia.

Kerjasama itu merupakan langkah penting dalam mewujudkan rangkaian platform vertiport yang beroperasi sepenuhnya selain membangunkan rangkaian platform vertiport yang praktikal dan bersepadu di dalam negara, demikian menurut satu kenyataan bersama hari ini (28 Jul).

Dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak, kerjasama itu akan menggunakan kepakaran dan pengalaman penerbangan AirAsia, serta pengetahuan dan rangkaian pasarannya, manakala Skyports Infrastructure pula, akan memanfaatkan kepakaran portfolio global untuk mereka bentuk dan membina infrastruktur platform pelepasan dan pendaratan untuk pesawat penumpang eVTOL.

"Skyports Infrastructure juga memainkan peranan penting dalam memajukan pembangunan kawal selia merentas pasaran melalui kerjasama dengan badan kawal selia tempatan dan organisasi berkaitan," tambahnya.

Kerjasama itu akan menumpukan usaha kepada kajian penyepaduan infrastruktur platform vertiport untuk perkhidmatan teksi udara, pengenalpastian tapak platform vertiport yang berpotensi dan pembangunan keperluan serta rangka kerja operasi untuk melaksanakan rangkaian platform vertiport di Malaysia. 

Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia Aviation Group Ltd dan Ketua Mobiliti Udara Termaju, Kapten Ling Liong Tien berkata kerjasama itu akan mempercepatkan kajian infrastruktur yang diperlukan termasuk platform pelepasan dan pendaratan menegak di negara ini serta mengukuhkan potensi kumpulan sebagai penyedia perkhidmatan perjalanan udara jarak dekat tanpa pelepasan di Asia Tenggara.

“AirAsia telah merevolusikan perjalanan udara komersial selama dua dekad yang lalu dan kami percaya bahawa dengan bekerjasama dengan Skyports, ia akan memacu kami ke hadapan untuk membentuk masa depan penerbangan autonomi di rantau ini.

“Susulan pengumuman usaha kami untuk membangunkan perkhidmatan teksi udara di kawasan bandar pada awal tahun ini, kami telah berusaha untuk meneroka kemungkinan perkhidmatannya di Malaysia," jelas beliau.

Ketua Asia Pasifik Skyports Yun-Yuan Tay pula berkata kerjasama itu menyerlahkan kemajuan pembangunan AAM di Malaysia dan rantau Asia Pasifik dengan lebih luas.

"Rakan kongsi yang inovatif dan berdaya maju seperti AirAsia membawa kami melangkah setapak ke hadapan untuk merealisasikan rangkaian perkhidmatan teksi udara yang selamat, cekap dan bersepadu sepenuhnya kepada rakyat dan komuniti," katanya.

Baru-baru ini, AirAsia mengumumkan rancangan masa depan untuk memajak 100 buah pesawat Vertical Aerospace VX4 eVTOL dari Avolon, melancarkan program latihan dron dan kini memperluaskan latihan dron kepada sektor berteknologi tinggi.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan