Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AirAsia mohon maaf atas penjadualan semula penerbangan ketika Hari Raya

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia mohon maaf atas penjadualan semula penerbangan ketika Hari Raya

Gambar fail pesawat-pesawat AirAsia di KLIA pada Sept 2020 (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

KUALA LUMPUR: AirAsia mengambil maklum dan memohon maaf kepada tetamu yang mengalami kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan susulan peningkatan permintaan mendadak pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata beberapa faktor dan kejadian yang tidak dapat dielakkan mengakibatkan kelewatan di luar jangkaan serta kawalan syarikat penerbangan itu.

“Kami berusaha sedaya upaya memastikan kesan gangguan paling minimum untuk semua tetamu dan memastikan semua dapat tiba di destinasi masing-masing dengan cepat termasuk melancarkan penerbangan khas untuk membawa penumpang yang terkandas,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa (10 Mei). 

Beliau juga berkata antara faktor yang menyumbang kepada penjadualan semula penerbangan semasa musim perayaan ini ialah permintaan untuk penerbangan domestik yang naik dengan sangat mendadak dan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lepas.

“AirAsia Malaysia juga kini beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding hampir 100 pesawat semasa sebelum pandemik. Ini disebabkan giliran menunggu yang panjang untuk kemudahan penyelenggaraan pesawat di Malaysia dan serantau sebelum sesebuah pesawat yang sudah lama tidak beroperasi dapat disahkan selamat untuk terbang semula sepertimana arahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia,” katanya.

Encik Riad berkata selain kerosakan dan masalah teknikal lazim yang ditemui semasa proses pemeriksaan rutin, berlaku insiden luar jangka seperti pintasan burung, kerosakan akibat objek asing serta panahan petir sehingga menyebabkan tiga hingga lima pesawat terpaksa dikeluarkan daripada jadual sepanjang tempoh perayaan ini.

Beliau berkata keutamaan AirAsia buat masa ini ialah mengurangkan pembatalan penerbangan dan memastikan semua tetamu tiba di destinasi masing-masing dengan selamat.

Katanya lagi, setiap perubahan pada jadual penerbangan akan dimaklumkan kepada tetamu melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas ke nombor telefon yang didaftarkan semasa tempahan tiket.

Sekiranya memerlukan maklumat atau bantuan lanjut, tetamu boleh menghubungi talian sembang AVA melalui AirAsia Super App atau laman web airasia.com atau ke kaunter perkhidmatan AirAsia di lapangan terbang terdekat.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan