AirAsia laksana penyelengaraan pencegahan bagi pesawat A320
Pesawat-pesawat AirAsia, syarikat penerbangan subsidiari Capital A, di landasan terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, Malaysia pada 26 Februari 2024 (Gambar Fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Menurut syarikat penerbangan itu, arahan berkenaan tidak memberi kesan terhadap kumpulan pesawat A330 dan pihaknya mengutamakan pelaksanaan segera bagi perubahan yang diperlukan di samping menyesuaikan operasi penerbangan sekiranya perlu bagi memastikan pematuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menyelesaikan proses berkenaan dalam tempoh 48 jam dan pada masa sama meminimumkan gangguan.
“Kami mengambil langkah segera untuk mematuhi AD ini dan berusaha menyelesaikan proses berkenaan dalam tempoh 48 jam akan datang sambil memastikan gangguan yang minimum kepada pelanggan.
“Kami memohon kerjasama dan timbang rasa daripada pelanggan memandangkan langkah-langkah yang diwajibkan ini penting untuk mengekalkan standard keselamatan operasi tertinggi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Laporan media yang memetik sumber Airbus memaklumkan kira-kira 6,000 pesawat di seluruh dunia mungkin terjejas dalam industri penerbangan.
Dalam kenyataan berasingan, Airbus menyatakan analisis terkini terhadap satu insiden melibatkan sebuah pesawat A320 Family mendedahkan bahawa radiasi solar yang kuat mungkin menjejaskan data kritikal bagi fungsi kawalan penerbangan.
Menurut pengeluar pesawat Eropah itu pihaknya sudah mengenal pasti sejumlah besar pesawat A320 Family yang pada masa ini sedang beroperasi dan mungkin terkesan, dan mengambil tindakan pantas bersama-sama pihak berkuasa penerbangan global.
“Airbus telah bekerjasama secara proaktif dengan pihak berkuasa penerbangan untuk memohon tindakan berwaspada segera daripada operator melalui Penghantaran Operator Amaran (AOT) bagi melindungi perisian dan peralatan tersedia, dan memastikan kumpulan pesawat itu selamat untuk diterbangkan.
"AOT ini akan disenaraikan dalam Arahan Layak Terbang Kecemasan yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA)," katanya.
Airbus mengakui bahawa langkah tersebut mungkin mengakibatkan gangguan operasi kepada penumpang dan pelanggan, justeru memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.