Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Air Terjun Kota Tinggi masih ditutup atas faktor keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
Air Terjun Kota Tinggi masih ditutup atas faktor keselamatan

(Gambar: Facebook/Air Terjun Kota Tinggi)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 04:37PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 04:38PM
ISKANDAR PUTERI: Kawasan rekreasi terkenal Air Terjun Kota Tinggi masih ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan, selepas kawasan berkenaan dilanda bencana banjir besar dan kepala air pada 2019, 2022 dan tahun lalu.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kajian terperinci perlu dilakukan sebelum produk pelancongan berkenaan dibuka semula kepada masyarakat.

“Memang kerajaan negeri nak buka air terjun ini, cuma pihak berkuasa tempatan sedang mengkaji dari segi keselamatan di kawasan berkenaan. Kita sedia maklum berlaku banjir besar di kawasan berkenaan pada 2019, 2022 dan 2023, yang menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai RM3.5 juta (S$1.1 juta) yang sudah dinaik taraf.

“Kerajaan Johor sedang melaksanakan kajian teliti bagi memastikan infrastruktur dapat dinaik taraf dan menyelesaikan isu banjir dan kepala air. Itu yang kita sedang laksanakan. Atas faktor keselamatan, kita terpaksa buat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan atas kajian berkenaan sebelum buka semula kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Muszaide Makmor (BN-Sedili) mengenai Air Terjun Kota Tinggi yang masih ditutup sehingga kini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini (28 Nov).

Pada Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dilaporkan berkata Air Terjun Kota Tinggi ditutup buat sementara waktu sejak 2019 selepas bencana banjir melanda atas sebab-sebab keselamatan awam.

Sementara itu, Encik Onn Hafiz berkata kajian teliti perlu dijalankan sebelum Air Terjun Kota Tinggi dapat dibuka semula selepas kerajaan negeri mengambil iktibar insiden kepala air di beberapa negeri yang mengorbankan nyawa orang awam.

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada kejadian kepala air yang mengorbankan nyawa sebelum ini. Pada 2021, berlaku kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai yang mengorbankan enam nyawa, terbaharu pada 16 November, kejadian kepala air di Sungai Jahang, Gopeng, Perak mengorbankan tiga nyawa,” katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan