Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad diminta beri pengecualian bil kepada mangsa banjir
(Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memberi pengecualian bil air dan elektrik kepada mangsa banjir yang terkesan dengan musibah itu.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, perkara itu dibangkitkan sendiri oleh penduduk yang terkesan kerana perlu menggunakan sumber air dan elektrik dalam jumlah yang banyak untuk membersihkan kediaman selepas dilanda bencana itu.
"Oleh kerana kerja pembersihan yang sangat besar, jadi ia mengambil banyak penggunaan air dan elektrik, jadi mereka (mangsa) nak dikecualikan pembayaran bil untuk bulan ini," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini (20 Dis).
Jelasnya urusan pembersihan dan membaik pulih rumah serta membeli perkakas baru juga memerlukan masa yang panjang.
Selain itu, beliau mahu kerajaan membuat pendirian tegas dengan meminta majikan swasta memberikan cuti bergaji kepada mangsa banjir sama seperti yang diumumkan kepada penjawat awam bagi membolehkan mereka menguruskan kerja pembersihan.
Cik Yeoh turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir bagi memastikan tiada warga emas dan Orang Kurang Upaya yang terlepas daripada mendapat bantuan segera.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.