Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Air pasang besar: Beberapa kawasan sekitar Klang, Sabak Bernam terjejas

Beberapa kawasan di sekitar daerah Klang dan Sabak Bernam hari ini (20 Sep) terjejas ekoran fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor.

Anggaran Waktu Membaca:
Air pasang besar: Beberapa kawasan sekitar Klang, Sabak Bernam terjejas

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Sep 2020 03:47PM Dikemas Kini : 20 Sep 2020 03:49PM

KLANG: Beberapa kawasan di sekitar daerah Klang dan Sabak Bernam hari ini (20 Sep) terjejas ekoran fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, antara kawasan yang dinaiki air melepasi benteng di Klang, ialah Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda dan Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, setakat pukul 11.30 pagi tadi.

Selain itu, Encik Ahmad Fairuz berkata Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang di Kampung Baru Telok Gong serta Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar turut dinaiki air.

"Tiga buah rumah di kawasan Kampung Pendamar sudah dinaiki air akibat limpahan air laut namun air mulai surut secara beransur-ansur.

"Ban dan benteng di pesisir pantai juga kukuh dan dalam keadaan baik. Situasi masih selamat dan terkawal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini (20 Sep).

Di Sabak Bernam, limpahan kecil dikesan melepasi benteng berlaku di kawasan Bagan Sekinchan, Pantai Batu 23, Sungai Haji Dorani, Bagan Sungai Besar, Sungai Burung, Parit Baru Baruh, Kampung Baru dan Sungai Nibong.

"Setakat ini, tiada kawasan penempatan yang terjejas,” kata Encik Ahmad Fairuz.

Terdahulu, tinjauan Bernama pada pukul 8.00 pagi tadi mendapati air naik sehingga paras lutut di Pengkalan Nelayan Sungai Udang, Kampung Baru Telok Gong, dekat sini, manakala beberapa rumah berdekatan jeti nelayan turut dimasuki air.

Penduduk setempat, Encik Mohd Johari Ibrahim berkata keadaan tersebut hanya berlaku apabila adanya fenomena air pasang besar.

"Air mula naik sekitar pukul 7.30 pagi sehingga 8.00 pagi tadi. Lepas itu, ia mula surut. Biasanya air melimpah sekitar kawasan jeti sahaja dan tidak akan sampai ke rumah penduduk kerana adanya tali air antara jeti dan kawasan perumahan," katanya kepada Bernama.

Benteng Kampung Tok Muda di Kapar turut mengalami limpahan air ekoran fenomena air pasang itu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan