Skip to main content

Dunia

Air New Zealand timbang berat badan penumpang naiki penerbangan antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Air New Zealand timbang berat badan penumpang naiki penerbangan antarabangsa

(Gambar: Getty Images)

Diterbitkan : 31 May 2023 10:19PM

WELLINGTON: Syarikat penerbangan Air New Zealand menimbang berat badan penumpang sebelum mereka menaiki penerbangan antarabangsa sebagai sebahagian daripada tinjauan untuk menentukan purata berat badan penumpang. 

Berat badan itu akan dicatatkan tanpa mendedahkan identiti penumpang dalam sebuah pangkalan data, yang tidak boleh dilihat oleh kakitangan syarikat penerbangan tersebut atau penumpang lain, dedah syarikat tersebut. 

Penumpang tidak diwajibkan menyertai tinjauan itu, tambah syarikat berkenaan. 

Air New Zealand sebelum ini menimbang berat badan penumpang bagi penerbangan domestik di New Zealand pada 2021, lapor BBC. 

"Sekarang apabila orang ramai sudah boleh melakukan perjalanan ke negara lain, sudah tiba masanya untuk menimbang berat badan penumpang penerbangan antarabangsa," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan media. 

Sebelum pandemik melanda, Air New Zealand membawa lebih 17 juta penumpang setiap tahun, dengan 3,400 penerbangan setiap minggu. 

Ia adalah satu "syarat pengawalseliaan" untuk mengetahui berat badan setiap sesuatu yang memasuki pesawatnya, jelas jurucakap Air New Zealand, Alastair James, dalam satu rakaman video. 

"Kami tahu ada yang takut untuk menimbang berat badan mereka. Kami ingin memberitahu pelanggan kami bahawa ia tidak akan dipaparkan di mana-mana," kata Encik James. 

"Dengan menimbang berat badan penumpang, anda akan membantu kami lakukan penerbangan dengan selamat dan cekap setiap kali." 

Air New Zealand merancang untuk meminta lebih daripada 10,000 pelanggannya yang menaiki penerbangan antarabangsa supaya mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut, menurut BBC. 

Syarikat tersebut turut menyatakan, setiap sesuatu yang menaiki pesawatnya - daripada kargo dan makanan yang dihidangkan dalam penerbangan kepada bagasi - ditimbang dan bagi bagasi pelanggan dan anak kapal, ia menggunakan purata berat berdasarkan data tinjauan. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita