Air India sahkan pesawat 'disenggara dengan baik' sebelum terhempas
Pesawat Boeing Air India "disenggara dengan baik" sebelum ia terhempas pada minggu lalu, mengorbankan kesemua individu di dalam kapal terbang kecuali seorang penumpang, menurut syarikat penerbangan itu pada Khamis (19 Jun).

Anggota sayap jurutera Tentera India bersiap sedia untuk mengeluarkan serpihan pesawat Air India yang terhempas di Ahmedabad, India pada 14 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Amit Dave)
Pihak berkuasa India belum lagi mendedahkan apa yang menyebabkan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu terhempas di bandar barat Ahmedabad, di mana ia turut mengorbankan sekurang-kurangnya 38 individu.
Sedang para penyiasat cuba mendapatkan data daripada kotak-kotak hitam pesawat itu - iaitu alat perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan - syarikat penerbangan itu menyatakan tiada masalah dikesan pada pesawat tersebut sebelum nahas itu berlaku.
"Pesawat itu disenggara dengan baik, dan kali terakhir ia menjalani pemeriksaan besar-besaran adalah pada Jun 2023," menurut Air India dalam satu kenyataan.
"Enjin kanannya ditukar pada Mac 2025 dan enjin kirinya diperiksa pada April 2025. Kedua-dua pesawat dan enjin dipantau secara kerap, dan ia tidak menunjukkan sebarang isu sebelum penerbangan itu," menurut Air India.
Pesawat yang menuju ke London itu meletup apabila ia terhempas di kawasan perumahan Ahmedabad selang beberapa minit selepas ia berangkat.
Pemeriksaan awal sejak nahas itu berlaku "tidak menimbulkan sebarang kebimbangan keselamatan", menurut pengawal selia penerbangan awam negara itu pada Selasa.
Unit penyiasat penerbangan India menyatakan pada Khamis bahawa siasatan itu "berjalan lancar".
"Kerja-kerja pemulihan utama termasuk dokumentasi tapak dan pengumpulan bukti, sudah selesai dan analisis lanjut sedang dijalankan," menurut Biro Siasatan Kemalangan Pesawat dalam satu kenyataan.
Air India juga menyatakan pada Khamis bahawa juruterbang pesawat itu berpengalaman.
"Pesawat itu dipimpin oleh Kapten Sumeet Sabharwal, seorang juruterbang dan jurulatih berpengalaman dengan lebih 10,000 jam terbang mengendalikan pesawat terbang berbadan lebar," jelasnya.
"Pegawai Pertama Clive Kunder pula mempunyai pengalaman melakukan penerbangan lebih 3,400 jam."
Sedang penyiasat cuba menyiasat nahas itu, anggota keluarga berpuluh-puluh mangsa masih menantikan individu tersayang mereka dikenal pasti.
Setakat Khamis, seramai 210 mangsa dikenal pasti menerusi ujian DNA, meurut menteri kesihatan India Rushikesh Patel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.