Air India periksa pesawat selepas penjana tenaga terbakar di lapangan terbang New Delhi
Air India menyatakan pada Selasa (22 Jul) bahawa ia menggantung khidmat sebuah pesawat penumpang untuk diperiksa dengan menyeluruh selepas sebuah penjana tenaga terbakar tidak lama selepas pesawat itu mendarat di ibu kota New Delhi.
Gambar fail pesawat Air India pada 7 Julai 2017. (Gambar: Reuters/Amit Dave)
Unit kuasa tambahan (APU) pesawat itu terbakar semasa para penumpang turun daripada pesawat berkenaan, dan ia dimatikan secara automatik, kata seorang jurucakap Air India dalam satu kenyataan.
APU adalah penjana tenaga elektrik yang biasanya ditempatkan di bahagian belakang pesawat.
Fungsi utamanya adalah untuk menghidupkan enjin-enjin utama dan sistem 'onboard' penting ketika pesawat berada di lapangan terbang.
Para penumpang pesawat AI315 dapat "turun seperti biasa" dan berada dalam keadaan selamat.
Namun pesawat itu, yang melakukan penerbangan dari Hong Kong, mengalami sedikit kerosakan, menurut syarikat penerbangan itu tanpa membutirkan kerosakan yang dialami.
Pesawat yang terjejas adalah pesawat jenis Airbus A321, menurut data flightradar24.
Air India menyatakan ia sudah memaklumkan kepada pengawal selia mengenai kejadian itu.
Pengawal selia penerbangan India tidak dapat segera dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung kejadian tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.