Skip to main content

Dunia

Air India minta suntikan modal AS$1.5 bilion daripada SIA, Tata sedang kerugian meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Air India minta suntikan modal AS$1.5 bilion daripada SIA, Tata sedang kerugian meningkat

Sebuah pesawat Air India Airbus A350 dipamerkan di acara penerbangan Wings India 2024 di Lapangan Terbang Begumpet, Hyderabad, India, pada 18 Januari 2024. (Gambar fail: Reuters/Almaas Masood)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 12:10AM
  • Air India memohon suntikan ekuiti baharu AS$1.5 bilion daripada Tata Sons dan SIA selepas mencatat kerugian tahunan terbesar.
  • Permintaan dana ini dibuat ketika syarikat menjalani penstrukturan semula besar-besaran, termasuk menaik taraf armada dan menangguhkan penghantaran pesawat baharu.
  • Kerugian Air India dan Air India Express turut menjejaskan keuntungan SIA, manakala perbincangan pembiayaan masih berlangsung tanpa keputusan muktamad.
  • Cabaran operasi seperti larangan ruang udara, gangguan rangkaian antarabangsa, dan isu dalaman Tata Sons menambah tekanan kepada usaha pemulihan syarikat penerbangan itu.
Dijana oleh AI
NEW DELHI: Air India meminta sekitar AS$1.5 bilion (S$1.9 bilion) dalam bentuk ekuiti baharu daripada pemiliknya, Tata Sons dan Singapore Airlines (SIA), beberapa bulan selepas syarikat penerbangan kedua terbesar India itu mencatat kerugian tahunan terbesar, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters.

Ia antara permintaan pembiayaan pemegang saham yang terbesar dilaporkan secara terbuka oleh Air India sejak Tata mengambil alih syarikat penerbangan milik pemerintah ketika itu pada 2022.

Permintaan tersebut menyerlahkan cabaran yang dihadapi syarikat penerbangan berkenaan ketika menjalani penstrukturan semula bernilai berbilion dolar, termasuk menaik taraf armada sedia ada.

Air India dan unit tambang murahnya, Air India Express, mencatat kerugian gabungan AS$2.33 bilion (S$2.96 bilion) bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac, lebih dua kali ganda kerugian tahun sebelumnya. Kerugian itu turut menjejas keuntungan SIA.

“Air India mahukan dana berkenaan dengan segera, walaupun suntikan tersebut berkemungkinan dilakukan secara berperingkat. SIA perlu menyumbang bahagiannya daripada suntikan yang dicadangkan itu supaya pelaburan tersebut dapat dilaksanakan,” kata salah seorang sumber.

Kedua-dua sumber menyatakan Air India meminta pembiayaan itu dalam bentuk ekuiti baharu. Perbincangan masih dijalankan dan belum ada keputusan dibuat mengenai permintaan tersebut.

Air India dan Tata Sons tidak menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Singapore Airlines, yang memiliki sekitar 25 peratus kepentingan dalam Air India, menyatakan pihaknya bekerjasama rapat dengan Tata Sons untuk menyokong program transformasi Air India, namun enggan mengulas mengenai kedudukan kewangan syarikat penerbangan itu.

USAHA PEMULIHAN AIR INDIA

Air India turut terjejas akibat larangan ruang udara Pakistan terhadap syarikat penerbangan India, gangguan terhadap rangkaian antarabangsanya menyusuli perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran serta kesan nahas maut tahun lalu yang mengorbankan 260 orang.

Permintaan pembiayaan itu dibuat ketika Pengerusi Tata Sons, N Chandrasekaran, dijangka berundur pada Februari selepas berbulan-bulan berlaku perselisihan dengan amanah kebajikan yang mengawal kumpulan tersebut, sebahagiannya berhubung kerugian Air India.

Encik Chandrasekaran berkata usaha pemulihan Air India mungkin boleh mengambil masa sehingga sedekad, dengan menyebut gangguan berterusan dalam rantaian bekalan serta perlunya untuk merombak sistem , budaya dan armada lama syarikat penerbangan itu.

Air India juga meminta supaya penghantaran ratusan pesawat yang ditempah daripada Airbus dan Boeing ditangguhkan sedang Tata berusaha mengurangkan kos dan kerugian syarikat penerbangan tersebut, menurut laporan Reuters awal tahun ini.

“Air India dijangka terus memerlukan suntikan modal pada tahun-tahun akan datang,” tambah salah satu sumber.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita