Skip to main content

Dunia

Air India diberi amaran atas kegagalan 'sistemik' berhubung latihan dan pengurusan keletihan anak kapal

Air India diberi amaran oleh pihak berkuasa penerbangan India bahawa syarikat penerbangan itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana melanggar piawai keselamatan berhubung pengurusan keletihan anak kapal dan latihan, berdasarkan notis pemerintah kepada syarikat penerbangan itu yang dilihat oleh Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Air India diberi amaran atas kegagalan 'sistemik' berhubung latihan dan pengurusan keletihan anak kapal

Pesawat Air India terbang berhampiran sebuah kawasan perumahan pada 28 Januari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Toby Melville)

NEW DELHI: Air India diberi amaran oleh pihak berkuasa penerbangan India bahawa syarikat penerbangan itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana melanggar piawai keselamatan berhubung pengurusan keletihan anak kapal dan latihan, berdasarkan notis pemerintah kepada syarikat penerbangan itu yang dilihat oleh Reuters.

Syarikat penerbangan tersebut melaporkan sendiri isu-isu berkenaan, yang berlaku tahun ini dan tahun lalu, kepada Pengarah Agung Penerbangan Awam India (DGCA) bulan lalu, hanya beberapa hari selepas sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner miliknya terhempas di bandar Ahmedabad, mengorbankan 260 orang.

Empat notis pemerintah bertarikh 23 Julai membidas Air India kerana berulang kali gagal mematuhi peraturan keselamatan. Beberapa amaran serupa pernah dikeluarkan sebelum ini. Tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil termasuk denda atau arahan untuk menyingkirkan para pegawai eksekutif daripada jawatan mereka.

Notis-notis itu menyatakan syarikat itu melanggar sebanyak 29 peraturan, termasuk juruterbang yang tidak diberi waktu rehat wajib, pematuhan yang lemah terhadap keperluan latihan simulasi, kurangnya latihan bagi lapangan terbang beraltitud tinggi serta penerbangan antarabangsa yang dijalankan tanpa bilangan kakitangan kabin yang mencukupi.

“Walaupun amaran dan tindakan penguatkuasaan sudah diambil berulang kali sebelum ini, isu sistemik berhubung pemantauan pematuhan, perancangan anak kapal, dan tadbir urus latihan masih belum diselesaikan,” menurut salah satu notis berkenaan.

“Kekerapan ia melanggar peraturan menunjukkan kegagalan dalam mewujudkan dan melaksanakan mekanisme kawalan yang berkesan,” tambahnya.

Air India dalam satu kenyataan menyatakan bahawa notis-notis tersebut berkaitan dengan pendedahan sukarela yang dibuat sepanjang tahun lalu, dan pihaknya akan memberikan respons kepada pihak berkuasa kelak.

“Kami kekal komited terhadap keselamatan kakitangan dan penumpang kami,” tambah kenyataan itu.

DGCA tidak memberikan sebarang respons terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasannya.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita