Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Air botol 'Meadows' ditarik balik dari pasaran S'pura tidak dijual di M'sia

Semakan awal Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kelompok pengeluaran (batch) air minuman berbungkus berjenama Meadows keluaran Malaysia yang ditarik daripada pasaran Singapura, mendapati ia tidak dipasarkan di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Air botol 'Meadows' ditarik balik dari pasaran S'pura tidak dijual di M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Dec 2020 04:39PM Dikemas Kini : 07 Dec 2020 04:44PM

KUALA LUMPUR: Semakan awal Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kelompok pengeluaran (batch) air minuman berbungkus berjenama Meadows keluaran Malaysia yang ditarik daripada pasaran Singapura, mendapati ia tidak dipasarkan di negara ini.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata pihaknya bagaimanapun sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai penarikan berkenaan.

“KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk tersebut yang dilaporkan di laman sesawang SFA pada 3 Dis. Laporan itu menyatakan SFA telah mengarahkan produk tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa. 

“Produk yang terlibat berisipadu 1.5L dengan tarikh luput 9 Nov 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini
 (7 Dis).

Bakteria Pseudomonas aeruginosa ialah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah. Bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah. 

“Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat,” katanya.

Encik Mohd Salim berkata kilang yang menghasilkan produk berkenaan mempunyai Pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) dan Lesen Air Minuman Berbungkus daripada KKM.

Menegaskan produk air minuman berbungkus untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983, Mohd Salim berkata Seksyen 13 akta itu menetapkan pihak yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan terkandung di dalamnya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 (S$32,870) atau penjara selama tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Bernama/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan