Ain Husniza dan bapa disaman guru berhubung isu jenaka rogol
Setelah memuat naik video tentang bagaimana gurunya menjenakakan isu rogol, Ain Husniza dikenakan tuntutan ganti rugi RM1 juta, kemudian diancam rogol oleh seorang pelajar dan kini dikenakan saman fitnah pula.

Ain Husniza (kiri) bersama bapanya dengan writ saman yang dikenakan pada 30 Nov 2021 (Gambar: Instagram/@ainhsaifulnizam)
KUALA LUMPUR: Satu saman fitnah difailkan terhadap pelajar tingkatan lima Malaysia, Ain Husniza Saiful Nizam serta bapanya, lapor Malaysiakini.
Ain sebelum ini mendapat sorotan media setelah satu video yang dimuat naik ke TikTok mengenai bagaimana jenayah rogol dibuat bahan jenaka oleh seorang guru sekolahnya.
Bapa pelajar terbabit, Saiful Nizam Ab Wahab, mendedahkan pada Selasa (30 Nov) di Twitter bahawa writ saman berkenaan menamakan dirinya bersama Ani Husniza sebagai defendan.
"Kami telah menerima writ saman fitnah dan pernyataan tuntutan daripada Khairul Nizam Sanuddin (guru PJPK SMK Puncak Alam) yang telah difailkan di mahkamah Shah Alam pada 26hb November 2021," tulis Encik Saiful seperti ditukil Malaysiakini.
Catatan itu turut melampirkan muka surat depan writ saman berkenaan, diiringi dengan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace (Jadikan sekolah tempat yang lebih selamat).
Di Instagram pula, Ain juga memuat naik gambar dirinya dan bapanya berserta writ saman yang diterima.
"Bukan saja perlu menghadapi SPM masa ini tetapi terpaksa juga bimbang tentang prosiding mahkamah," tulisnya pada Selasa.
Pelajar terbabit mula mencetuskan perbincangan awam selepas memuat naik video TikTok dengan mendakwa seorang guru membuat jenaka mengenai rogol semasa sesi pembelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan, lapor Malaysiakini.
Sejak itu Ain Husniza mendapat sokongan pelbagai pihak atas pendedahan itu namun pada masa yang sama dia juga berdepan dengan kritikan selain satu ugutan rogol daripada pelajar lain.
Bagaimanapun pelajar lelaki terbabit kemudian memohon maaf.
Pada Ogos lalu, Ain Husniza dan bapanya dilaporkan menerima sepucuk surat tuntutan daripada seorang guru lelaki yang mendakwa difitnah anak-beranak terbabit.
Antara lain Ain dan bapanya dituntut membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi bernilai RM1 juta (S$324,100) atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Malaysiakini melaporkan 2 Dis ini ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.