AI harus dikawal agensi AS atau global, kata ketua ChatGPT
(Gambar: AFP/Win Mcnamee)
WASHINGTON: Ketua syarikat kecerdasan buatan (AI) yang membuat ChatGPT memberitahu Kongres pada Selasa (16 Mei) bahawa sebarang campur tangan akan menjadi kritikal untuk mengurangkan risiko terhadap sistem AI yang lebih berkuasa.
"Sedang teknologi ini bertambah maju, kami faham bahawa orang ramai bimbang tentang bagaimana ia akan merubah cara kehidupan kita. Kami juga rasa begitu," CEO OpenAI Sam Altman berkata semasa di perbicaraan Senat.
Encik Altman mencadangkan penubuhan sebuah agensi Amerika Syarikat (AS) atau global yang akan memberi lesen kepada sistem-sistem AI yang paling berkuasa dan membenarkan mereka mempunyai kuasa untuk "menarik balik lesen tersebut dan pastikan ia dipatuhi mengikut piawaan keselamatan."
Walaupun tiada tanda-tanda bahawa Kongres akan membuat peraturan baru berkaitan AI, sepertimana yang dilakukan penggubal undang-undang di Eropah, kebimbangan dalam kalangan masyarakat menyebabkan Encik Altman dan CEO syarikat-syarikat teknologi lain ke Rumah Putih pada awal bulan ini dan menyebabkan agensi-agensi AS berjanji untuk menangani produk-produk AI berbahaya yang melanggar hak sivil sedia ada serta undang-undang yang melindungi para pengguna.
Senator Richard Blumenthal, seorang anggota Democrat di Connecticut yang mengerusi jawatankausa kecil Jawatankuasa Kehakiman Senat tentang privasi, teknologi dan undang-undang berkata, syarikat-syarikat AI perlu menguji sistem mereka dan mengemukakan sebarang risiko sebelum melancarkannya. Beliau juga meluahkan kebimbangan tentang bagaimana sistem AI mungkin akan menjejas pasaran pekerjaan.
Encik Altman bersetuju, namun beliau mempunyai pandangan yang lebih optimistik mengenai masa depan pekerjaan.
Encik Altman juga merancang untuk melakukan lawatan ke seluruh dunia bulan ini, ke ibu kota dan bandar-bandar utama merentasi enam benua untuk berucap tentang teknologi AI bersama penggubal undang-undang dan orang awam.
Turut memberi keterangan adalah ketua pegawai privasi dan amanah IBM, Christina Montgomery, dan Gary Marcus, seorang profesor emeritus di Universiti New York.
Mereka merupakan pakar AI yang menggesa OpenAI dan syarikat-syarikat teknologi lain supaya menghentikan pembangunan model AI lebih berkuasa buat seketika selama enam bulan, supaya dapat memberi masyarakat lebih masa untuk mempertimbangkan risiko AI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.