Skip to main content

Dunia

Ahmad Zahid tolak tanggapan MCA, MIC boikot PRN

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid tolak tanggapan MCA, MIC boikot PRN

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 06 Jul 2023 05:55PM
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tanggapan bahawa pendirian MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan hadapan, merupakan satu tindakan boikot.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata kedua-dua parti komponen itu menyatakan komitmen untuk membantu jentera BN di keenam-enam negeri.

“Saya tidak fikir ia bertujuan untuk melakukan pemboikotan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, apabila ditanya sama ada MCA dan MIC memboikot PRN selepas melancarkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal pada Khamis (6 Jul).

Beliau berkata Presiden MCA Dr Wee Ka Siong sendiri menghubungi beliau pada malam Rabu dan memberitahu bahawa MCA komited membantu semua jentera BN di enam negeri yang bakal menghadapi PRN.

Encik Ahmad Zahid berkata Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran juga menyatakan perkara yang sama.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat pada 10 Julai depan untuk perbincangan koordinasi jentera dan mendapatkan pencerahan daripada MCA dan MIC.

Kepada soalan sama ada terdapat sebarang kerusi dalam PRN bulan depan yang diperuntukkan kepada MCA dan MIC, Encik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata terdapat kerusi diperuntukkan untuk mereka bertanding.

Pada Rabu, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan hadapan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan PRN di keenam-enam negeri itu dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita