Skip to main content

Dunia

Ahmad Zahid tarik balik rayuan kepada SPRM bagi dapatkan rakaman percakapan saksi

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid tarik balik rayuan kepada SPRM bagi dapatkan rakaman percakapan saksi

Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

Encik Ahmad Zahid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada bulan yang sama. Notis pemberhentian rayuan itu sudah difailkan di Mahkamah Rayuan pada Jumaat (11 Nov).

Seorang peguam yang mewakili Encik Ahmad Zahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung pada 14 November sudah dilapangkan.

Setakat ini, pihak pembelaan sudah memanggil enam saksi termasuk Encik Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lalu.

Perbicaraan kes itu bersambung pada 16 Januari tahun depan.
Encik Ahmad Zahid, 69 tahun, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita