Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid setuju ubah reka bentuk kapal tempur pesisir selepas akur saranan BNS

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid setuju ubah reka bentuk kapal tempur pesisir selepas akur saranan BNS

Bekas Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Malaysia mendedahkan bekas Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi bersetuju menukar reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011.

Persetujuan itu dibuat kurang dua bulan selepas Encik Ahmad Zahid akur dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mahu menggunakan reka bentuk SIGMA dari Belanda, lapor Astro AWANI.

Menurut laporan itu, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011, Encik Ahmad Zahid bersetuju dengan pendirian untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda.
Namun, kurang dua bulan dari persetujuan tersebut, iaitu pada Julai 2011, Encik Ahmad Zahid mengubah keputusan dan akur dengan saranan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis.

Encik Ahmad Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND, sebelum BNS mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS, pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep serta penilian reka bentuk.

"Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, mempertahankan pendirian dan konsisten memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda dalam pembinaan LCS.

"Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 September 2011," jelas laporan itu, seperti ditukil Astro AWANI.

Berikutan itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pengeluaran surat setuju terima (SST) yang menetapkan syarat reka bentuk GOWIND dan sistem pengurusan tempur (CMS) jenama SETIS serta 17 peralatan dan sub sistem.

MOF kemudian meluluskan pengeluaran SST kepada BNS pada 15 Disember 2011 dengan had bumbung kontrak RM9 bilion (S$2.8 billion).

Mindef kemudian memohon MOF membuat bayaran pendahuluan RM1.8 bilion (S$556 juta) atau 20 peratus daripada had bumbung kontrak dengan RM500 juta (S$154 juta) didahulukan pada 2011 dan baki bayaran pendahuluan itu diselesaikan pada 2012.

Bagaimanapun, MOF pada 21 Disember 2011 hanya bersetuju untuk meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta kepada BNS.

Menurut Astro AWANI, laporan JKSTUPKK mendedahkan nilai bayaran pendahuluan dalam SST dipinda dua kali, dengan bayaran pendahuluan kedua ditambah kepada RM700 juta (S$216 juta) pada 2013 dan bayaran pendahuluan ketiga berjumlah RM170 juta (S$52 juta) pada 2014 (hanya RM164.9 juta (S$52 juta) dibayar pada Januari 2014).

"Jumlah keseluruhan bayaran pendahuluan di peringkat SST berjumlah RM1,364,997,803 (S$422 juta) atau 14.95 peratus daripada nilai kontrak," menurut laporan tersebut.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan