Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid selesai beri keterangan pembelaan kes rasuah Yayasan Akalbdudi

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid selesai beri keterangan pembelaan kes rasuah Yayasan Akalbdudi

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Aug 2022 09:37PM Dikemas Kini : 30 Aug 2022 10:22PM
KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa (30 Ogos) selesai memberikan keterangan setelah 17 hari membela diri terhadap kes rasuah membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbdudi (YAB) yang dihadapinya.

Dr Ahmad Zahid, 69 tahun, memberikan keterangan bersumpah dari tempat saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bermula 13 April lepas dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya.

Berkenaan prosiding seterusnya, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Dr Ahmad Zahid berkata pihak pembelaan akan mengurangkan saksi pembelaan daripada 43 saksi kepada 40.

“Pihak pembelaan akan menyediakan pernyataan saksi dan menyerahkannya kepada pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum mereka memberi keterangan,” kata peguam itu.

Hakim Sequerah: Perlu ke memanggil 40 saksi lagi?

Hamidi: Ya Yang Arif, walaupun bilangannya mencecah 40 saksi, keterangan mereka tidak akan mengambil masa yang lama, malah kami akan mengikut jadual perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran mencadangkan agar 20 saksi sahaja dipanggil memberikan keterangan.

“Sebelum ini 43 saksi dikatakan akan dipanggil memberikan keterangan, sekarang turun kepada 40 saksi, namun ia masih dikira ramai. Jadi saya cadangkan mahkamah dapat menetapkan tarikh tambahan untuk prosiding akan datang,” katanya.

Peguam utama Dr Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik kemudian berkata tarikh tambahan tidak perlu ditetapkan pada masa ini kerana saksi-saksi ini tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk memberikan keterangan.

Mahkamah menetapkan 40 saksi itu memberikan keterangan selama 20 hari iaitu pada 19 hingga 22 Sep, 26 hingga 29 Sep, pada Oktober iaitu 17, 18, 19, 20 dan 31 manakala November pada 1, 2, 3, 7, 8, 9 dan 10.

Dr Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan