Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid Hamidi terima gaji lebih RM44,000 sebulan sebagai Timbalan PM M'sia

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis (12 Dis) diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,383.15 (S$14,500) sebulan untuk jawatan itu dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid Hamidi terima gaji lebih RM44,000 sebulan sebagai Timbalan PM M'sia

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Dec 2019 10:35PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 10:37PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis (12 Dis) diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,383.15 (S$14,500) sebulan untuk jawatan itu dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55 tahun, berkata semasa memegang jawatan itu sejak 28 Julai 2015 hingga 9 Mei 2018, Dr Ahmad Zahid menerima gaji hakiki RM18,168.15 (S$5,900) sebulan manakala elaun RM26,215 (S$8,600).

Sementara itu, beliau berkata gaji hakiki yang diterima Dr Ahmad Zahid sebagai Menteri Persekutuan (Menteri Dalam Negeri) bermula 16 Mei 2013 sehingga 27 Julai 2015 adalah RM14,907.20 (S$4,900) manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320 (S$7,900).

"Elaun-elaun yang diterima beliau adalah berdasarkan ketentuan elaun dan keistimewaan bagi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan (pindaan hingga November 2014)," kata Encik Daman Huri ketika pemeriksaan utama dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Ali.

Encik Daman Huri berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes Dr Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Saksi pendakwaan ke-22 itu turut mengecam dokumen perakuan tentang kedudukan atau jawatan dipegang Dr Ahmad Zahid yang dikemukakan kepadanya oleh Encik Mohd Alif.

Sementara itu, saksi lain iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad, 50 tahun, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Rosal Azimin Ahmad bahawa pinjaman dana Yayasan Akalbudi RM10 juta (S$3.2 juta) kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk pelaburan.

Rosal: Datuk setuju jika saya kata pelaburan ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi?

Wasi: Tidak setuju.

Wasi juga tidak bersetuju dengan cadangan Rosal bahawa Dr Ahmad Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd.

Pada Rabu (11 Dis), Wasi berkata Dr Ahmad Zahid meminjamkan dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd - iaitu sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu - selepas diperkenalkan oleh Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenal sebagai Datuk K.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata pinjaman tersebut untuk pihaknya perlu modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Dr Ahmad Zahid, 66 tahun, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 11 Februari depan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan