Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah atas 14 tuduhan pindaan rasuah libatkan dana Yayasan Akalbudi

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini (10 Ogos) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah atas 14 tuduhan pindaan rasuah libatkan dana Yayasan Akalbudi

Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 10 Aug 2020 07:57PM Dikemas Kini : 10 Aug 2020 07:58PM

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini (10 Ogos) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada Ahmad Zahid, 67 tahun, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda 14 pertuduhan tersebut.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan satu perkataan iaitu “penguasaan” dalam pertuduhan pecah amanah pertama hingga 10 serta 19 dan 20 serta membuang perkataan 'penambahan' dalam pertuduhan rasuah ke-14 dan 15.

Mengikut 12 pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu milik yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM31 juta (S$10 juta) milik yayasan tersebut di Affin Bank Bhd cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, antara 13 Jan 2014 hingga 23 Dis 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah daripada pengarah Data Sonic Group Berhad, sebagai upah bagi dirinya selaku penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri ketika itu. Oleh sebab itu, syarikat tersebut dilantik bagi melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport untuk tempoh lima tahun.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Maybank cawangan Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar di Kuala Lumpur, pada 26 April 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (S$3,300), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya tidak bersetuju dengan pindaan tersebut kerana pemakluman mengenai pindaan itu agak lambat.

“Kami terkejut dan ia hanya dimaklumkan kepada kami pagi ini. Kami tidak bersetuju dengan permohonan ini...pada masa yang sama, kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami mahu hak kami di bawah Seksyen 162 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memanggil saksi-saksi, diiktiraf. Kami serahkan kepada mahkamah,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata pindaan terhadap pertuduhan itu tidak akan memberi kesan sehingga boleh mengubah ciri kesalahan itu.

“Tidak akan timbul soal prejudis kerana pertuduhan yang dipinda itu hanya pindaan kecil sahaja," ujar beliau.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung pada Selasa. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan