Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid Hamidi jalani ujian COVID-19; perbicaraan kes Yayasan Akalbudi ditangguh hingga 28 Sep

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (21 Sep) membenarkan permohonan Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya pada petang tadi dan esok menyusuli ujian saringan COVID-19 yang dijalani bekas timbalan PM itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid Hamidi jalani ujian COVID-19; perbicaraan kes Yayasan Akalbudi ditangguh hingga 28 Sep

Preisden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Sep 2020 08:07PM Dikemas Kini : 21 Sep 2020 08:12PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (21 Sep) membenarkan permohonan Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya pada petang tadi dan esok menyusuli ujian saringan COVID-19 yang dijalani bekas timbalan perdana menteri Malaysia itu.

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad Zahid, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan itu di Hospital KPJ Tawakal, Kuala Lumpur, pada tengah hari tadi.

“Keputusan bagi ujian saringan pertama adalah negatif bagaimanapun, keputusan bagi ujian saringan kedua hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam iaitu pada petang esok.

“Jadi kami memohon perbicaraan yang berlangsung pada petang ini dan esok dilapangkan dan disambung semula pada Isnin depan (28 Sep)," katanya semasa prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata pihaknya memahami keadaan tersebut dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.

"Namun, pihak pembelaan harus memaklumkan kepada mahkamah selepas menerima keputusan saringan kedua itu dengan kadar segera," ujar beliau.

Hakim Sequerah membenarkan permohonan penangguhan itu dan menetapkan 28 September untuk perbicaraan bersambung.

Berdasarkan akaun media sosial rasmi milik presiden UMNO itu, beliau berada di Sabah sejak minggu lalu bagi kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan tiba di Kuala Lumpur pada Ahad.

Pada prosiding pagi tadi, bekas setiausaha eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, memberitahu mahkamah bahawa beliau terlebih membayar kad kredit Ahmad Zahid daripada jumlah yang sepatutnya dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi.

Mazlina, 42 tahun, berkata sejak beliau mengambil alih tugas sebagai Setiausaha Eksekutif daripada Rosiah Osman pada 2011, semua buku cek Yayasan Akalbudi dan cek peribadi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berada dalam simpanannya. 

"Semua buku cek itu disimpan di dalam laci berkunci di pejabat saya tetapi apabila berlakunya peralihan kerajaan pada Mei 2018, saya tidak ingat dan tidak merekodkan serta tidak membuat catatan siapa yang memegang ‘cheque butt’ (keratan cek)," katanya. 

Mazlina berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid, pada hari ke-41 perbicaraan Ahmad Zahid.

Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan