Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid gesa segerakan PRU15 atau BN berisiko kalah

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi menggesa kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid gesa segerakan PRU15 atau BN berisiko kalah

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Aug 2022 05:12PM Dikemas Kini : 20 Aug 2022 05:12PM
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi menggesa kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Malaysiakini.

Dalam gesaan kali ini yang dibuat menerusi satu catatan di Facebook pada Sabtu (20 Ogos), Encik Ahmad Zahid berkata Barisan Nasional (BN) berisiko tewas jika ia tidak dilakukan segera.

"UMNO sudah membuat pendirian tersebut (berkenaan PRU) sudah lama pun. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti.

"Segerakanlah atau UMNO dan BN akan tewas. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna," coretnya di Facebook.

Minggu lalu, Encik Ahmad Zahid, yang juga pengerusi BN, berkata gabungan itu akan berdepan laluan sukar sekiranya pilihan raya diadakan hanya pada tahun depan berikutan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

Dalam kenyataannya hari ini, Encik Ahmad Zahid berkata beliau tidak ingin pembangkang menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum pembubaran Parlimen untuk menyerang BN.

"Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang.

"Ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO-BN," katanya sambil mendakwa isu yang dikemukakan pembangkang "berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh", lapor Malaysiakini.

Beliau menambah ekoran "mendapat senjata" untuk menyerang BN, tiada pihak dalam kalangan pembangkang yang meminta Parlimen dibubarkan walaupun sebelum ini memperlekeh kerajaan yang memerintah sebagai "kerajaan pintu belakang".

Beliau juga membangkitkan wawancara mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, dengan The Associated Press sebelum ini, yang antara lain berkata BN akan menang besar jika PRU15 diadakan dalam dua atau tiga bulan mendatang kerana masih memiliki sokongan yang kuat.

Dr Mahathir juga berkata pada masa yang sama, pembangkang dalam keadaan berpecah belah, justeru mengukuhkan lagi peluang UMNO untuk menang besar.

"Beliau (Mahathir) terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia.

"Pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin inilah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU. Sudah banyak kali sudah dijelaskan justifikasi," kata Encik Ahmad Zahid selanjutnya.
 
Sumber : Agensi berita/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa