Ahmad Zahid beri kata dua, keluarkan BN daripada Kerajaan Perpaduan atau bubar Parlimen
Encik Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 September 2026. (Gambar: Petikan skrin video Facebook/Zahid Hamidi)
- UMNO melalui Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan dua pilihan kepada kerajaan, iaitu mengadakan PRU16 segera atau mengeluarkan BN daripada Kerajaan Perpaduan.
- Kenyataan ini dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTCKL pada 12 September.
- UMNO menegaskan bahawa mandat rakyat perlu dikembalikan jika BN dikeluarkan, kerana asas sokongan kerajaan akan terjejas.
- Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ditegaskan sebagai amanah kenegaraan dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara.
Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan, turut mencabar pihak berkenaan supaya memenuhi gesaan yang dibuat parti Melayu itu agar mandat dikembalikan kepada rakyat.
“Pilihan cuma ada dua! Satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan Pilihan Raya Umum!
"Kedua, keluarkan kami secara rasmi daripada (Kerajaan Perpaduan) dan undi tidak percaya boleh dilakukan di Dewan Rakyat!
“Ada berani ke? Kalau berani buatlah cepat! Kalau berani bubarlah cepat!” katanya semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini (12 Sep).
Berucap lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya BN diminta keluar daripada Kerajaan Perpaduan, asas sokongan 112 kerusi yang membentuk kerajaan ketika ini tidak lagi wujud, sekali gus memerlukan mandat baharu daripada rakyat, lapor Astro AWANI.
Encik Ahmad Zahid menambah jumlah kerusi yang menyokong Kerajaan Perpaduan ketika ini melebihi majoriti mudah, namun sokongan itu merupakan tambahan kepada asas pembentukan kerajaan yang ada, melibatkan gabungan pelbagai parti.
“Walaupun jumlah kerusi bersama Kerajaan Perpaduan sekarang melebihi majoriti mudah, tetapi ia adalah tambahan kepada asas yang ada. Sebab parti-parti yang menyertai sekarang ini pelbagai parti, semuanya 18 parti,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, Encik Ahmad Zahid berkata kerjasama yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas amanah kenegaraan dan kepatuhan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, dengan matlamat memastikan kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat, lapor Astro AWANI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.