Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid beri bayangan sedia dicabar bagi jawatan Presiden UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan beliau bersedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Tegas Encik Ahmad Zahid, dalam pemilihan sebelum ini pada 2018, beliau juga dicabar dua ahli parti tetapi keputusan masih memihak kepada beliau yang kemudian menyaksikannya memegang jawatan nombor satu parti itu, menurut laporan Astro AWANI.

Bahkan, beliau berkata gabungan undi dua pencabarnya itu masih kurang berbanding undi diperolehinya dan jelasnya, kenyataan itu adalah fakta, bukan untuk bersikap sombong, riak, takbur atau ujub.

"Dulu pun saya dicabar juga. Dua orang cabar saya dan undi mereka masih belum sama dengan undi yang saya peroleh. Bukan riak, bukan sombong dan takabur mahupun ujub tapi itu terbukti pada 2018.

“Malah kombinasi undi kedua-duanya sangat kurang berbanding undi saya," katanya di sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari di Putrajaya pada Khamis (5 Jan).

Turut hadir sama ialah Timbalannya, Rubiah Wang, dan Ketua Setiausaha kementerian, Ramlan Harun.

Pada pemilihan tahun 2018, Encik Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden UMNO, mengalahkan dua pencabarnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Encik Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Ahli Parlimen Gua Musang, lapor Astro AWANI.

Dalam pada itu, Encik Ahmad Zahid menegaskan kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.

"Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak kepada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

"Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada mahu kepimpinan yang sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan UMNO terus relevan dalam pentas politik negara.

"Kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan," ujarnya.

Pemilihan UMNO dijangka diadakan pada tahun ini. Dengan desakan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap dipertandingkan, ia pastinya akan menghadirkan pelbagai cerita sebelum dan selepas pemilihan parti.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan