Skip to main content

Dunia

Ahmad Zahid akur pihaknya terima laporan risikan 'langkah Dubai'; gerakan untuk jatuhkan Kerajaan Perpaduan

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Selasa (2 Jan) bahawa pihaknya telah menerima laporan perisikan berkaitan 'Langkah Dubai', dan menyifatkan gerakan yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan itu hanya membuang masa. 

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Selasa (2 Jan) bahawa pihaknya telah menerima laporan perisikan berkaitan 'Langkah Dubai', dan menyifatkan gerakan yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan itu hanya membuang masa. 

"Laporan memang ada. Laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka (yang terlibat) ke tempat itu, dan laporan selepas itu kami peroleh, tapi pada hemat kami langkah itu hanya membuang masa," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Penyelarasan Situasi Bencana Terkini hari ini, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat mengenai individu yang terbabit dalam gerakan itu.

Ahmad Zahid berkata tumpuan kerajaan Malaysia adalah untuk memperkukuhkan ekonomi serta membantu rakyat dan beliau menasihatkan individu yang berniat untuk menggulingkan kerajaan agar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk membentuk kerajaan baharu.

“Keutamaan adalah untuk bangunkan negara kita terutamanya dari segi pembangunan ekonomi, berikan kesejahteraan yang ‘melata’ kepada rakyat dan bukan soal politik. Tunggulah hingga PRU (pilihan raya umum) ke-16 kalau mereka berhajat untuk menukar kerajaan," tambahnya.

Pada Sabtu lepas (30 Dis), Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop dilaporkan mendakwa 'Langkah Dubai' timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang, dan tokoh-tokoh dari pihak kerajaan, di ibu kota Amiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita