Ahmad Zahid akan bincang isu jerebu rentas sempadan dengan Gibran di Jakarta
Isu jerebu rentas sempadan akan menjadi antara perkara yang dibincangkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi dengan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka semasa lawatan kerjanya ke Jakarta.
Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia Muzaffar Shah Mustafa berkata isu jerebu menjadi antara tumpuan lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi ke Jakarta. (Gambar: Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta)
Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia Muzaffar Shah Mustafa berkata perbincangan itu dijadual berlangsung semasa lawatan empat hari Encik Ahmad Zahid yang bermula pada Khamis (17 Sep).
Isu jerebu menjadi antara tumpuan lawatan tersebut selepas kebakaran hutan di Indonesia turut menjejas Malaysia.
"Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya diminta pemerintah Indonesia, di mana kita telah pun menyediakan anggota dan juga peralatan yang berkaitan bagi membantu Indonesia dalam hal ini," kata Encik Muzaffar.
Pada masa yang sama, Malaysia menghargai usaha Indonesia menangani kebakaran tersebut dan menyedari cabaran yang dihadapi dalam operasi memadamkan kebakaran.
KERJASAMA HALAL TURUT JADI TUMPUAN
Selain isu jerebu, lawatan itu akan menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang halal, pembangunan desa, pengurusan bencana, isu sempadan dan maritim.
Bidang lain termasuk perdagangan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Encik Ahmad Zahid juga akan menyertai Sidang Puncak Halal 20 (H20) kelima pada 18 September.
Beliau dijadual menghadiri majlis pembukaan dan menjadi ahli panel dalam sesi mengenai kerjasama halal serantau.
Menurut Encik Muzaffar, Malaysia dan Indonesia merupakan pemain utama dalam ekosistem halal dan perlu memperkukuh kerjasama bagi menerajui pembangunan industri halal di ASEAN serta di peringkat global.
Terdapat juga cadangan untuk menubuhkan Majlis Halal ASEAN, dengan Malaysia dan Indonesia sebagai penggerak utama, namun perkara itu masih di peringkat perbincangan.
Satu memorandum persefahaman antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia dengan Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia turut dijadual dimeterai bagi memperkukuh kerjasama pembangunan desa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.