Skip to main content

Dunia

Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang ganti Hamzah

Perikatan Nasional (PN) melantik Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu, menggantikan Hamzah Zainudin.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang ganti Hamzah

Ketua Pembangkang baharu, Ahmad Samsuri Mokhtar. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 May 2026 04:36PM
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melantik Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu, menggantikan Hamzah Zainudin.

Pelantikan Ahli Parlimen Kemaman itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN kali ke-2 tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di Kuala Lumpur pada Sabtu (16 Mei), menurut laporan Astro Awani.

Jawatan Ketua Pembangkang itu kosong kira-kira tiga bulan selepas Ahli Parlimen Larut dipecat oleh Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari lalu kerana melanggar Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata mesyuarat yang dipengerusikan Encik Ahmad Samsuri itu dihadiri semua ahli Majlis Tertinggi daripada parti komponen gabungan.

“Mesyuarat bersetuju melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu, seperti dinukil Astro Awani.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju secara prinsip menerima kerjasama pilihan raya bersama parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama.

Selain itu, PN turut mengumumkan pelantikan Pengerusi bagi setiap negeri termasuk Shahidan Kassim (Perlis), Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang), Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Mohamed Azmin Ali (Selangor).

Bagi Negeri Sembilan, pelantikan Pengerusi negeri ditangguhkan, manakala Mohd Radzi Md Jidin dilantik menerajui Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan Astro Awani, Encik Takiyuddin berkata PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab, membina dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan.

Sebelum ini, pada 12 April lalu, Encik Ahmad Samsuri mengesahkan Encik Hamzah sudah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Sumber : Agensi berita/KH/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita