Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Fashilin Mohammed Salihin sifatkan tugas sebagai jururawat bermakna meski dipanggil 'Misi'

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Fashilin Mohammed Salihin sifatkan tugas sebagai jururawat bermakna meski dipanggil 'Misi'

Gambar: Sistem Kesihatan Universiti Nasional

Diterbitkan : 24 Apr 2023 10:43AM Dikemas Kini : 24 Apr 2023 01:26PM
SINGAPURA: Adakah jururawat pekerjaan wanita? Apabila jururawat Ahmad Fashilin Mohammed Salihin diajukan soalan tersebut, beliau terdiam seketika.

Manakan tidak.

Ini adalah tahun 2023. Mengapa jantina perlu menjadi hambatan bagi menceburi satu-satu pekerjaan atau mengejar mana-mana aspirasi?

Sekalipun demikian, di Singapura, hanya sekitar satu daripada 10 jururawat adalah lelaki, menurut perangkaan Lembaga Kejururawatan Singapura.

Jururawat berusia 31 tahun itu kemudian menjelaskan dengan jujur: "Saya rasa ia masih menjadi satu salah tanggapan bahawa kejururawatan adalah peranan wanita. Sesiapa saja boleh menyertai kerjaya tersebut."

Meskipun beliau sudah bekerja sebagai jururawat kanan berdaftar di jabatan kecemasan Hospital Universiti Nasional (NUH) selama lebih sedekad, beliau tidak akan menceritakan detik-detik yang menyayat hati seperti nahas jalan raya, kematian mengejut atau penyakit kritikal.

Beliau juga tidak akan merungut mengenai keletihan mahupun tekanan sebagai sebahagian daripada kakitangan barisan hadapan semasa pandemik COVID-19.
Gambar: Sistem Kesihatan Universiti Nasional
Setiap hari selama 10 tahun yang lalu, Encik Ahmad sentiasa berada di sisi para pesakit, sama ada mereka memerlukan bantuan trauma yang besar mahupun jagaan asas. Beliau tidak pernah sesekali berhenti untuk mempersoalkan sama ada kerja sedemikian adalah peranan lelaki ataupun wanita. Lagipun, apakah kaitan faktor jantina dengan peranan menjaga orang lain masyarakat kita?

LELAKI DALAM DUNIA YANG DIDOMINASI WANITA

Namun, stereotaip jantina masih wujud. Encik Ahmad akur bahawa segelintir generasi lama masih memanggil jururawat dengan panggilan "Misi", termasuk jururawat lelaki sepertinya.

Malah, bertugas sebagai seorang jururawat di jabatan kecemasan memerlukan daya kekuatan yang tinggi. Ia bukan sekadar untuk mengangkat pesakit yang seberat 100 kilogram dari kerusi roda ke katil bersama rakan sekerja.

Bertugas di barisan hadapan jagaan kesihatan bahkan memerlukan ketahanan emosi memandangkan ia meletakkan mereka dalam situasi di mana mereka perlu berdepan dengan detik yang paling mencemaskan dalam kehidupan.

"Saya sudah pernah menyaksikan banyak kes seperti nahas jalan raya. Saya lihat darah dan anggota badan yang dipotong," ujarnya.

Dalam kes-kes seumpama itu, beliau akan cuba mengawal perasaan.

"Saya menilai pesakit dan tandakan sebarang kecederaan luaran seperti pendarahan, luka atau ablasi. Kemudian, saya melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu pesakit bertahan dan memanggil pakar dan pasukan trauma untuk membantu pesakit," katanya.
Gambar: Sistem Kesihatan Universiti Nasional
PENJAGAAN BUKAN KERJA WANITA SAHAJA

Terdapat beberapa pekerjaan lain yang dinamik dan dengan rentak sepantas pekerjaan jururawat di jabatan kecemasan. Malah, itu yang membuat Encik Ahmad tertarik kepada peranan tersebut pada awalnya.

Namun, Encik Ahmad berkongsi bahawa sebahagian besar daripada tugas seorang jururawat melibatkan penjagaan - membersihkan pesakit, membantu mereka dengan ubat-ubatan dan menyokong mereka dalam usaha pemulihan, iaitu peranan yang dikaitkan dengan wanita.

Sebagai anak sulung daripada empat orang adik-beradik, Encik Ahmad menarik perhatian bahawa beliau dibesarkan oleh seorang ibu yang kuat dan penyayang, yang sudah berkhidmat sebagai seorang jururawat selama 35 tahun.

Memandangkan beliau sangat rapat dengan ibunya, Encik Ahmad selalu mengikuti ibunya ke tempat kerja ketika kecil lagi, apabila terdapat acara hujung minggu seperti rumah terbuka. Beliau akan menerokai hospital tersebut dan berkawan dengan budak-budak lain di taman permainan di hospital tersebut.
Gambar: Sistem Kesihatan Universiti Nasional
Beliau masih lagi ingat pesakit-pesakit ibunya yang mengucapkan terima kasih kepada ibunya atas jasanya membantu menjaga pesakit.

Melihat ibunya sebagai contoh teladan, Encik Ahmad memohon untuk menyertai bidang kejururawatan setelah menduduki Peperiksaan Peringkat 'N'.

"Semua orang, termasuk ibu saya, terkejut. Mereka menjangkakan saya akan menyertai kejuruteraan automotif atau kejuruteraan atau kejuruteraan aeronautik, profesion yang lebih dikaitkan dengan lelaki, kerana itulah minat dan hobi saya," selorohnya.

Malah, Encik Ahmad bukan satu-satunya jururawat di dalam keluarganya itu. Dua daripada adik perempuannya juga terdorong untuk mengikuti langkah ibunya. Isteri Encik Ahmad, yang ditemuinya ketika bertugas di sekolah kejururawatan, juga merupakan seorang jururawat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan