Ahli Republican Amerika dikecam, syor guna bom atom tamatkan perang di Gaza
Dalam rakaman video ucapan Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Tim Walberg yang disiarkan online, beliau berkata: "Ia seperti Hiroshima dan Nagasaki. Selesaikan segera".
Gambar: AFP
MICHIGAN: Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari Parti Republican, Tim Walberg menegaskan beliau disalahertikan dan hanya bercakap secara metafora apabila seakan mencadangkan bom digugurkan di Gaza "seperti Nagasaki dan Hiroshima" untuk "menamatkan dengan cepat" perang di Gaza, lapor agensi berita CNN.
Walberg, 72 tahun, yang mewakili selatan Michigan membangkitkan isu itu ketika bercakap dengan pengundinya berhubung kemusnahan Carikan Gaza, pada sesi dialog awam pada 25 Mac.
Menurut laporan CNN, dalam rakaman video ucapan Walberg yang disiarkan online, beliau berkata: "Ia seperti Hiroshima dan Nagasaki. Selesaikan segera".
Berdasarkan video itu, ucapan beliau jelas merujuk kepada pengguguran bom atom dilakukan Amerika Syarikat ke atas Jepun semasa Perang Dunia II.
Tambah laporan itu, ahli Kongress tersebut berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada pengundinya tentang mengapa Amerika menggunakan dolar Amerika untuk membina jeti sementara bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Saya rasa kita tidak patut,” kata Walberg mengenai perlunya menghulurkan bantuan kemanusiaan lanjut ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran kebuluran akan berlaku di utara dan berkata 70 peratus daripada penduduk sudah mengalami tahap kelaparan yang teruk.
"Kita tidak sepatutnya membelanjakan satu sen pun untuk bantuan kemanusiaan," tambahnya seperti dipetik CNN.
" Ia sepatutnya seperti Nagasaki dan Hiroshima. Segera selesaikan. Begitu juga dengan Ukraine. Kalahkan Putin dengan cepat."
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X, Walberg menegaskan beliau tidak mencadangkan senjata nuklear digunakan untuk menamatkan konflik - walaupun merujuk kepada Amerika menggugurkan bom atom di dua bandar Jepun untuk menamatkan Perang Dunia Kedua.
"Sebagai seorang kanak-kanak yang dibesarkan dalam era Perang Dingin, perkara terakhir yang akan saya anjurkan ialah penggunaan senjata nuklear. Dalam klip yang disunting, saya menggunakan metafora untuk menegaskan keperluan bagi kedua-dua Israel dan Ukraine memenangi peperangan secepat mungkin, tanpa membahayakan tentera Amerika. Penjelasan saya adalah bertentangan dengan apa yang dilaporkan: semakin cepat perang ini berakhir, semakin sedikit nyawa yang tidak berdosa akan terperangkap dalam pertempuran itu,” kata Walberg dalam kenyataan itu.
Kenyataannya itu mendapat reaksi warga Amerika-Palestin merangkap mantan rakan Kongres di Michigan, Justin Amash, yang mengecam beliau di aplikasi X, sambil menegaskan ia 'memperlihatkan sikap sangat tidak mempedulikan penderitaan manusia'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.