Skip to main content

Dunia

Ahli politik Venezuela Maria Corina Machado menang Hadiah Nobel Keamanan

Pemimpin pembangkang Venezuela María Corina Machado, diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2025, menurut Jawatankuasa Nobel Norway pada Jumaat (10 Okt), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli politik Venezuela Maria Corina Machado menang Hadiah Nobel Keamanan

Pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, memegang bendera kebangsaan di atas sebuah lori semasa tunjuk perasaan di Caracas pada 17 Ogos 2024. (Gambar fail: AFP/Federico Parra)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 Oct 2025 11:45PM
BERLIN: Pemimpin pembangkang Venezuela María Corina Machado, diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2025, menurut Jawatankuasa Nobel Norway pada Jumaat (10 Okt), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Beliau menerima anugerah itu atas "usaha tanpa jemu mempromosikan hak demokratik untuk rakyat Venezuela," kata Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway Jorgen Watne Frydnes.

Encik Frydnes menyifatkan Cik Machado sebagai "juara keamanan" yang berusaha untuk melonggarkan cengkaman kuasa pemerintah Venezuela yang bersifat kuku besi.

"Demokrasi bergantung kepada individu ... yang berani tampil ke hadapan walaupun berdepan risiko besar," katanya.

Tahun ini, seramai 338 orang dicalonkan untuk Hadiah Keamanan, termasuk 244 individu dan 94 pertubuhan, iaitu tambahan 52 orang berbanding tahun lalu. Identiti calon Hadiah Nobel biasanya dirahsiakan selama 50 tahun.

Pada 2024, pertubuhan keamanan Jepun Nihon Hidankyo menerima anugerah itu atas usahanya mempromosikan dunia bebas senjata nuklear, dengan menggunakan kenyataan para mangsa yang terselamat daripada pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Sepanjang minggu ini, pemenang dalam kategori perubatan, fizik, kimia dan kesusasteraan akan diumumkan. Minggu anugerah akan berakhir pada Isnin akan datang dengan pengumuman Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi.

Semua Hadiah Nobel secara tradisinya disampaikan di Stockholm, kecuali Hadiah Keamanan yang secara unik disampaikan di Oslo.

Setiap anugerah disertakan dengan hadiah wang tunai sebanyak 11 juta kronor Sweden (S$1.43 juta).

Majlis penyampaian rasmi akan berlangsung pada 10 Disember, bersempena ulang tahun kematian Alfred Nobel, pencipta dinamit dari Sweden dan pengasas anugerah tersebut (1833 -1896).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita