Skip to main content

Dunia

Ahli politik perlu fokus jaga kepentingan rakyat M'sia, tegas Agong

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli politik perlu fokus jaga kepentingan rakyat M'sia, tegas Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Feb 2022 04:31PM Dikemas Kini : 28 Feb 2022 04:34PM

KUALA LUMPUR: Ahli politik di Malaysia perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat, kata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menyelitkan ingatan itu dalam dua rangkap pantun pada akhir perintah Seri Paduka semasa merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 hari ini (28 Feb), Al-Sultan Abdullah berkata kerja yang susah akan menjadi senang jika semua bersatu hati.



“Gunung Kinabalu sama didaki,

Sungai Pahang sama direnang,

Jikalau semua bersatu hati,

Kerja yang susah menjadi senang.




Busana tradisi kain bersulam,

Warnanya jingga berawan larat,

Cukuplah berpolitik siang dan malam,


Fokuskan menjaga kepentingan rakyat,” kata Agong.



Menurut Seri Paduka, bagi menghadapi 2022, semua pihak diseru mengukuhkan strategi dan ketahanan dalam mendepani cabaran COVID-19 dengan pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar Malaysia tidak ketinggalan.

"Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara kita yang tercinta,” menurut Agong.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kesyukuran kerana landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

"Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwipartisan iaitu melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang,” kata Al-Sultan Abdullah sambil merujuk kepada memorandum yang ditandatangani kedua-dua pihak pada September tahun lalu.

Menurut Agong, hasil kesepakatan dan kematangan itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya diluluskan dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu.

"Kematangan politik seperti itulah yang didambakan oleh rakyat beta,” tambah Al-Sultan Abdullah sambil menyeru semua Ahli Parlimen supaya terus mengekalkan persefahaman yang terbina dan memelihara kestabilan politik yang telah tercapai itu.

Menyentuh mengenai bencana banjir teruk yang dialami negara pada akhir tahun lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan atas tindakan pantas kerajaan membantu mangsa banjir menerusi penyaluran bantuan bernilai RM1.4 bilion (S$450 juta) secara terus kepada mereka yang terkesan selain peruntukan kewangan bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam berjumlah RM6 bilion (S$1.94 bilion).

Mengenai kemakmuran negara, Al-Sultan Abdullah berkata perpaduan nasional harus terus menjadi agenda utama negara dalam memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara.

“Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendaklah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat beta."

“Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif,” kata Al-Sultan Abdullah.

Agong turut menyeru masyarakat dididik mengenai bahaya aliran pemikiran dan fahaman yang mengelirukan masyarakat Islam dan usaha menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan adat dan amalan agama negara itu.

Tambah Agong lagi, fahaman dan aliran pemikiran tersebut perlu dikawal melalui tindakan berfokus dan strategik melibatkan semua pihak berkuasa agama, keselamatan serta pihak-pihak lain yang bertanggungjawab.

 

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita