Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahli, pemimpin UMNO perlu waspada muslihat musuh: Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli, pemimpin UMNO perlu waspada muslihat musuh: Ahmad Zahid

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Zahid Hamidi/Facebook)

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan pandangan segelintir pemimpin partinya yang menyifatkan kandungan 'PASleak' sebagai bukan perkara luar biasa.

Dalam satu catatan di Facebook, beliau sebaliknya mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO sentiasa berwaspada dengan setiap kenyataan, langkah, pendirian serta tindak tanduk mereka dan pemimpin lawan, seperti dinukil BH Online.

"Apakah kandungan 'PASLeak' dianggap bukan luar biasa? Tepuk dada tanya selera! Jangan mudah terpedaya!

"Ahli parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri adalah nombor satu, manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang sudah mengkhianati muafakat parti tidak wajar diberikan tempat dalam keutamaan parti," katanya.

Beliau mengulas pandangan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa yang menyifatkan dokumen 'PASLeak' yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan, lapor BH Online.

Encik Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, berdasarkan pemahamannya selepas meneliti dokumen itu, ia hanyalah catatan pemimpin PAS dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

Dokumen digelar 'PASleak' sebelum ini tular, dengan kandungan antara lain gesaan untuk menyegerakan kes mahkamah membabitkan Dr Ahmad Zahid dan rancangan untuk melemahkan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Zahid berkata, sebagai orang parti di pelbagai peringkat, mereka perlu lebih bijaksana dalam membaca gerak geri lawan.

"Ketika musuh luar parti bermuslihat dan dengan licik cuba memperdaya parti lawan menggunakan pelbagai taktik dan strategi, kita sebagai orang parti daripada ahli biasa ke peringkat bahagian parti perlu lebih bijaksana membaca gerak geri lawan.

"Jangan pula tindak tanduk kita umpama musuh parti luar yang sama menari ikut rentak mereka. Sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti dapatlah dianggap kebetulan, namun sudah beberapa kali, itulah namanya bukan kebetulan lagi," katanya.

Justeru, Dr Ahmad Zahid mahu ahli parti terus merapatkan barisan, mengukuhkan kesiapsiagaan dan menolak musuh parti, lapor BH Online.

"Sekali kita bersetia, janganlah derhaka kepada parti. Tanpa parti tiadalah jawatan menteri atau lantikan politik," katanya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan