Skip to main content

Dunia

Ahli PAS mohon maaf kerana enggan tadah tangan berdoa buat Agong

Anggaran Waktu Membaca:
PETALING JAYA: Individu memuat naik hantaran berhubung “doa buat Sultan/Agong” Jumaat lalu (12 Apr), Hezry Yasin memohon maaf atas tindakannya dan sedia memberikan kerjasama, jika disiasat oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, penulisan itu “pandangan peribadi” dan beliau tiada niat menghina institusi diraja.

“Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua dan saya tidak menafikan doa untuk sesama Muslim itu sangat baik,” katanya dalam catatan di Facebook, yang dipetik oleh agensi berita Free Malaysia Today.

Dalam catatannya yang dipadamkan, Hezry yang juga ahli PAS antara lain menyatakan dia tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan atau Agong ketika solat Jumaat pada 12 April lalu.

“Namun, ketika doa buat Sultan/Agong dan keluarga, saya menurunkan tangan. Dan kembali menadahkan tangan selepas doa buat mereka (rakyat Islam),” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Beliau juga mendakwa doanya hanya diberikan kepada pemimpin yang meletakkan agama nombor satu dan memperjuangkan serta mempertahankan Islam ketika agama diancam.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Selangor, Aubidullah Fahim menyifatkan kenyataan Hezry tidak mewakili parti itu dan bertentangan dasar perjuangan mereka.

Beliau turut menafikan Hezry memegang jawatan dalam sayap PAS di Selangor.

“Justeru, segala kenyataan beliau tidaklah mewakili Pemuda PAS Selangor atau mana-mana entiti dalam PAS,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Free Malaysia Today.

Pemuda PAS Selangor turut menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk mengambil sebarang tindakan, sekiranya Hezry melanggar disiplin parti.

“Bagi melunasi proses undang-undang, Pemuda PAS Selangor memberi sepenuh kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya.”
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita