Skip to main content

Dunia

Ahli Parlimen M'sia diseru sokong rang undang-undang kawal produk tembakau & merokok

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mewujudkan generasi ‘bebas rokok’ menerusi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajar diberi sokongan jitu oleh semua Ahli Parlimen merentasi jurang politik.

Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) dalam kenyataan pada Ahad (31 Jul) memaklumkan Ahli Parlimen perlu menunjukkan kesungguhan politik yang berani dan semangat kenegarawan yang tinggi dalam membantu melaksanakan rang undang-undang itu bagi mencipta legasi kesihatan yang benar-benar berkesan serta berkekalan untuk negara.

Katanya lagi, kebimbangan bahawa larangan tembakau bagi generasi yang lahir selepas 1 Jan 2007 iaitu Generasi Penamat (GEG) akan mencetuskan masalah berkaitan pelanggaran kebebasan peribadi kelak adalah tidak berasas.

“Penggunaan tembakau bukan seperti pengambilan makanan manis atau minuman alkohol justeru perbandingan tersebut tidak relevan. Selain itu, tidak ada tahap merokok yang selamat dan ia membahayakan alam sekitar dan orang yang tidak bersalah di sekitarnya.

“Justeru, JKPM menggesa semua Ahli Parlimen untuk merebut peluang ini dan memastikan tempat mereka dalam sejarah dengan berani menyokong cadangan larangan tembakau GEG berperingkat ini. Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, adil, konsisten dan berterusan,” menurut kenyataan itu.

JKPM turut menekankan bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan itu dilihat tepat pada masanya dalam membawa perubahan dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan Jamelah A Bakar pula berkata negara perlu mempunyai rang undang-undang khas berhubung produk tembakau serta tabiat merokok dan bukan sekadar dimasukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sedia ada.

“PEMADAM menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menyokong rang undang-undang yang telah dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Ia adalah untuk menjamin kesihatan awam dan melindungi rakyat kita serta keluarga Malaysia daripada ancaman bahaya produk merokok,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.

Pada Sabtu (30 Jul), Encik Khairy memaklumkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan GEG atau individu lahir 1 Jan 2007 dan seterusnya bebas merokok, tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Encik Khairy berkata berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan pihaknya, industri tembakau hanya memberi kesan sebanyak 0.18 peratus saja terhadap keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 27 Julai lalu, beliau membentangkan rang undang-undang itu, yang melarang individu lahir pada 2007 dan seterusnya merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita