Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahli Parlimen M'sia sudah hantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara

Beberapa Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik yang dihubungi petang ini (18 Ogos) mengesahkan mereka sudah menyerahkan surat akuan bersumpah masing-masing kepada Istana Negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli Parlimen M'sia sudah hantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara

Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 08:10PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 08:11PM

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik yang dihubungi petang ini (18 Ogos) mengesahkan mereka sudah menyerahkan surat akuan bersumpah masing-masing kepada Istana Negara dan menyertakan nama calon pilihan untuk menjadi perdana menteri kesembilan, seperti yang diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam (17 Ogos).

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata surat akuan bersumpah beliau dihantar melalui e-mel pagi tadi manakala Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran telah menghantar surat akuan bersumpah melaui e-mel dan faks pada pukul 12.30 tengah hari.

Kedua-duanya adalah ahli Dewan Rakyat daripada PKR.

“Pemilihan calon perdana menteri adalah seiring dengan pendirian PKR yang berpegang kepada konsensus PH, iaitu menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri,” kata Prabakaran ketika dihubungi.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan surat akuan bersumpah dihantar kepada parti (PAS) untuk diuruskan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menjelaskan Dewan Ulama PAS Pusat menyokong pencalonan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, yakni selaras dengan ketetapan PAS Pusat yang sebulat suara menyokong Naib Presiden UMNO itu untuk menduduki jawatan berkenaan.

“Pencalonan itu juga menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mampu bersatu dalam apa jua keadaan yang berlaku. Saya yakin Ismail Sabri dapat menampilkan kepimpinan yang baik berasaskan pengalamannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya. 

Ahli Parlimen Tumpat yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau juga sudah menyerahkan surat akaun bersumpah itu kepada parti untuk diuruskan.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata DAP menyerahkan surat akuan bersumpah kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang dan menurutnya surat akuan itu adalah rahsia mengikut arahan Istana Negara.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menerusi notis bertarikh 17 Ogos meminta 220 ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon perdana menteri.

Menurut sumber rapat, Ahli Parlimen Ketereh (Kelantan) Annuar Musa telah menghantar surat akuan menerusi e-mel manakala Ahli Parlimen Padang Terap (Kedah) Mahdzir Khalid pula menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) juga menandatangani dua surat akuan masing-masing bagi menyokong Anwar dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

Ketua Wira Warisan Azis Jamman yang juga Ahli Parlimen Sepanggar (Sabah) menegaskan walaupun menandatangani dua surat akuan, Warisan akan berusaha memastikan Anwar sebagai calon pertama Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Anwar kini mempunyai 105 sokongan termasuk daripada Warisan dan Anwar perlu mendapatkan sokongan enam lagi ahli Parlimen bagi jumlah majoriti mudah 111 kerusi parlimen.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyerahkan surat akuan bersumpah kepada Istana Negara, namun Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau tidak boleh mendedahkan nama dan jumlah calon yang telah dihantar itu.

“Saya tidak boleh beritahu nama (yang telah dihantar), saya tidak boleh mendahului Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya.

Ketika ditanya sama ada Anwar atau PH ada menghubunginya untuk mendapatkan sokongan, Abang Johari berkata beliau tidak dihubungi Anwar.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 orang ahli selepas dua ahlinya meninggal dunia tahun lepas iaitu Hasbullah Osman bagi kawasan Gerik dan Liew Vui Keong (kawasan Batu Sapi).

Sehubungan itu, seseorang Ahli Parlimen perlu mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen sebagai majoriti mudah untuk membolehkan beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan