Ahli Parlimen JB diugut bunuh; pejabat cabang PKR dibakar
Encik Akmal Nasrullah berkata individu yang mengugutnya meninggalkan satu mesej bertulis dan 27 mesej suara yang mengandungi ugutan berkenaan, bahasa kesat serta makian.
Akmal Nasrullah Mohd Nasir. (Gambar: BERNAMA)
Encik Akmal Nasrullah berkata individu yang mengugutnya meninggalkan satu mesej bertulis dan 27 mesej suara yang mengandungi ugutan berkenaan, bahasa kesat serta makian.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu pada masa sama berkata Pejabat Cabang PKR Johor Bahru di Larkin yang juga merupakan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru disyaki dibakar kira-kira pukul 6.00 pagi tadi (28 Ogos).
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tinjauan di lokasi, kejadian ini dipercayai perbuatan khianat dan sabotaj dengan terdapat lima tayar dikumpulkan di hadapan pintu pejabat sebelum api dinyalakan.
"Saya tidak pasti sama ada ugutan dan kebakaran itu melibatkan individu sama atau sebaliknya, namun untuk mengatakan kedua-duanya hanyalah kebetulan adalah sedikit pelik kerana perbezaan tempoh masa yang dekat," katanya kepada pemberita selepas ditemui di pejabat berkenaan hari ini.
Beliau berkata akibat kebakaran itu, beberapa kerosakan berlaku antaranya pintu “roller shutter”, dua unit penyaman udara, dinding pejabat dan beberapa barangan lain.
Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan itu berkata laporan polis berhubung kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 2.15 petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung dua kejadian itu.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.
Selain itu, ACP Raub berkata laporan polis berhubung kes ugutan baru diterima dan akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.