Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahli Parlimen BN bermesyuarat tentukan pendirian sokong PH atau PN bentuk kerajaan baru M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli Parlimen BN bermesyuarat tentukan pendirian sokong PH atau PN bentuk kerajaan  baru M'sia

Johari Abdul Ghani turut dilihat hadir di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada pagi Selasa (22 Nov). (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Nov 2022 11:22AM Dikemas Kini : 22 Nov 2022 12:38PM
KUALA LUMPUR: Suasana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada pagi Selasa (22 Nov) mula meriah dengan ketibaan pemimpin dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika kemelut pembentukan kerajaan dan pemilihan Perdana Menteri Ke-10 dijangka mencapai kemuncak hari ini, lapor BH Online.

Pimpinan dan Ahli Parlimen daripada semua parti komponen BN akan bermesyuarat bagi memutuskan sama ada gabungan itu, yang memperoleh 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), akan menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

Setakat jam 10.00 pagi tadi, tiga Ahli Parlimen BN dilihat masuk ke WTC KL untuk menghadiri mesyuarat berkenaan, antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menang kerusi Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani.

Turut dilihat hadir, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup; Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon serta Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon.

Ia disusuli Ahli Parlimen Kota Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan.

Ditanya mengenai agenda mesyuarat hari ini, Encik Chong Sin Woon memaklumkan, BN akan memutuskan pendirian gabungan berkait pembentukan kerajaan pasca PRU15.

"Untuk putuskan (pendirian BN)," katanya ringkas kepada pemberita.

Semalam, Ahli Parlimen dan pimpinan tertinggi PH hadir ke Hotel Seri Pacific di sebelah Ibu Pejabat UMNO untuk berunding dengan pimpinan UMNO dan BN mengenai kerjasama kedua-dua gabungan yang diketahui umum bermusuh itu bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ia susulan Yang di-Pertuan Agong menitahkan parti dan gabungan politik yang berjaya membentuk kerjasama bagi memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112, untuk menamakan calon Perdana Menteri Ke-10 sebelum jam 2.00 petang ini.

Pada PRU15, tiada mana-mana pihak berjaya memperoleh 112 kerusi Parlimen, menyebabkan tiada pihak dapat membentuk kerajaan sehingga hari ini. Tiga blok utama, iaitu PH menang jumlah kerusi tertinggi 82, diikuti PN dengan 73 dan BN mendapat 30 kerusi.
Sumber : Agensi berita/SU/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa