Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahli arkeologi di Arab Saudi gali kerajaan purba sebelum tamadun Islam

Di tengah-tengah kawasan padang pasir dan berbukit Al Ula di bahagian barat laut Arab Saudi, sekumpulan ahli arkeologi sedang menggali sisa-sisa kerajaan purba Dadan dan Lihyan yang pernah bertakhta di kawasan itu suatu ketika dahulu, lapor Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli arkeologi di Arab Saudi gali kerajaan purba sebelum tamadun Islam

(Gambar: AFP/Suruhanjaya Diraja Al-Ula)

Diterbitkan : 02 Nov 2021 11:15PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 10:39PM

AL ULA, Arab Saudi: Di tengah-tengah kawasan padang pasir dan berbukit Al Ula di bahagian barat laut Arab Saudi, sekumpulan ahli arkeologi sedang menggali sisa-sisa kerajaan purba Dadan dan Lihyan yang pernah bertakhta di kawasan itu suatu ketika dahulu, lapor Reuters.

Al Ula yang merupakan sebuah destinasi pelancongan utama sejak ia dibuka pada 2019, dikenali terutama bagi makam megah Madain Saleh, iaitu sebuah kota purba berusia 2,000 tahun yang dipahat di bukit batu oleh orang Nabatean iaitu orang-orang Arab sebelum datangnya Islam yang turut membangunkan Petra di negara jiran Jordan.

Sebuah pasukan arkeologi Perancis dan Saudi kini berusaha untuk menggali lima tapak berkaitan dengan tamadun Dadanite dan Lihyanite, iaitu kuasa serantau penting yang berkembang 2,000 tahun lalu.

"Ia sebuah projek yang benar-benar cuba membuka misteri di sebalik peradaban itu," kata Abdulrahman Al-Sohaibani, yang juga merupakan pengarah bersama misi arkeologi Dadan.

Menjangkau kira-kira 900 tahun sehingga 100 Masihi, kerajaan itu mengendalikan laluan perdagangan penting namun tidak banyak yang diketahui tentang mereka. Justeru, pasukan itu berharap dapat belajar lebih banyak lagi tentang amalan ibadat, kehidupan sosial dan ekonomi mereka.

Penggalian sebelum ini terbatas pada kawasan perlindungan utama, kata Jerome Rohmer, seorang pengkaji bersama Pusat Nasional Perancis bagi Kajian Saintifik.

"Kami ingin memperolehi gambaran menyeluruh tentang kronologi tapak itu, susun aturnya, budaya, ekonominya," kata Rohmer.

"Ia adalah projek menyeluruh di mana kami cuba menjawab semua soalan itu."

Al-Ula semakin menjadi terkenal melalui usaha Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman untuk mengubah ekonomi dan masyarakat negara itu. Kerajaan Arab Saudi kini memberi tumpuan pada sektor pelancongan dalam usaha membuka negara itu kepada dunia dan mempelbagaikan sumber ekonomi negara.

Pembangunan Al-Ula merupakan sebahagian daripada usaha untuk memelihara tapak-tapak warisan sebelum Islam menarik pelancong bukan Islam dan mengukuhkan identiti nasional.

Sumber : Reuters/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa