Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong tidak terima gaji sejak COVID-19 melanda, kata PM Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak COVID-19 melanda negara kerana Seri Paduka melihat keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak COVID-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Rabu (14 Dis). 

Encik Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Encik Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November. 

Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

Sementara itu, Encik Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Disember nanti. 

“Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

“Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik...minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Encik Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Encik Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Disember bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan