Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong seru rakyat M'sia sabar tunggu pembentukan kerajaan baru

Anggaran Waktu Membaca:
Agong seru rakyat M'sia sabar tunggu pembentukan kerajaan baru

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. (Gambar Hiasan: AFP)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat Malaysia agar bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baru pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia.

Agong berkata bahawa pembentukan kerajaan Persekutuan yang baru memerlukan sedikit masa lagi.

“Harap bersabar, perlukan masa sikit, kena bersabar, banyak bertenang.

“Kerajaan ‘Caretaker’ masih lagi ada, masih berjalan seperti biasa,” kata Agong ketika menyantuni pengamal media yang berkampung di hadapan pintu 2 Istana Negara, di Kuala Lumpur pada Isnin (21 Nov).

Beliau juga berkata segala perkembangan terkini mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan baru, hendaklah dirujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana Negara.

“Saya tidak akan buat kenyataan. Ikutlah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara,” ujar beliau.

Dalam kenyataan media terkini Istana Negara pada Isnin, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk melanjutkan proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik bagi pembentukan kerajaan baru dan calon Perdana Menteri, sehingga pukul 2.00 petang Selasa (22 Nov).
Pada Ahad (20 Nov), Yang di-Pertuan Agong meminta semua ketua parti politik dan gabungan parti politik untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri Malaysia yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baru sebelum pukul 2.00 petang, Isnin (21 Nov).

PRU15 Malaysia berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
PRU15 pada 19 November menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan