Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong seru pertahankan institusi masjid daripada jadi gelanggang politik

Anggaran Waktu Membaca:
Agong seru pertahankan institusi masjid daripada jadi gelanggang politik

Umat Islam di Malaysia semasa solat Aidilfitri di Masjid Negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2016. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

MELAKA: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyeru agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.

Beliau berkata masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati sekali gus menjadi contoh kepada agama-agama lain.

“Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah belah… Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi qaryah masjid berkenaan.

“Saya akan sentiasa ingatkan, khususnya di Pahang, masjid tak boleh dicampuri unsur-unsur politik waima siapa sekalipun,” kata beliau di majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan Majlis Berbuka Puasa di Bachang, Melaka, pada Rabu (5 Apr).

Hadir sama ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

Agong berkata demikian menyusuli siri larangan yang dikenakan di beberapa negeri di Malaysia bagi menghalang ahli-ahli politik daripada berceramah di masjid.

Pada 2 Mac, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melarang ahli politik daripada memberi kuliah atau ceramah khutbah di masjid serta surau di negeri itu.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menekankan bahawa masjid dan surau tidak seharusnya sesekali disalah guna untuk mewujudkan keresahan atau perbalahan dalam kalangan masyarakat, termasuk aktiviti atau program yang berunsur politik.

Meskipun larangan itu dikuatkuasakan, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (AS) Abdul Hadi Awang dilaporkan terus menyampaikan kuliah di negeri itu.
Menurut laporan The Star, Encik Abdul Hadi berkata tiada masalah jika ahli politik Muslim menyampaikan ceramah di masjid atau surau kerana ia penting bagi pemimpin untuk berbincang tentang pelbagai isu termasuk politik.

"Kita harus faham, apabila kita bercakap tentang Islam, kita tidak boleh mengasingkan isu politik daripada agama.

"Sedangkan Nabi Muhammad juga menyentuh tentang isu politik dalam khutbahnya. Tiada apa yang salah dan kami mempunyai tanggungjawab untuk berbincang tentang isu itu," The Star memetik kata-kata Encik Abdul Hadi.
Sumber : Bernama/CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan