Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong seru maklumkan gabungan parti politik sebelum pukul 2.00 petang 21 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia yang berlangsung pada Sabtu (19 Nov), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 1.15 petang pada Ahad (20 Nov).

Istana Negara menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baru, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

“Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti antara parti-parti politik/gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baru pasca PRU15.

“Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum pukul 2.00 petang, pada Isnin, 21 November 2022.

“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baru dan pelantikan Perdana Menteri Malaysia menerusi proses yang dijelaskan adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Agong menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 Malaysia dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara itu umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya lapor Astro AWANI.

Menurut Encik Ahmad Fadil lagi, Agong turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

“Agong mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baru ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara," kata beliau.

Tambahnya, Agong turut mengajak seluruh rakyat agar bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan