Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong seru GPS pertimbang penubuhan kerajaan perpaduan

Anggaran Waktu Membaca:
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut politik negara yang berlaku sekarang.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof yang mengetuai wakil GPS untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pagi Rabu (23 Nov) berkata nasihat Agong sudah disampaikan kepada Pengerusi GPS Abang Johari Openg.

“Saya tadi tidak dapat membuat keputusan (semasa sesi menghadap) dan kita mendengar pandangan tuanku dan akan membawa kepada pucuk pimpinan GPS. Jadi tadi pun kita telah memberikan taklimat kepada premier kita (Abang Johari),” katanya.

Bercakap kepada media selepas taklimat itu, Encik Fadillah berkata selain beliau, GPS turut diwakili Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi, Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Richard Riot Jaem dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Aaron Ago Dagang.

Menurutnya, setakat ini GPS masih berpegang kepada kenyataan yang dibuatnya sebelum ini untuk menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun mereka akan tetap akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh Al-Sultan Abdullah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, GPS sudah memenangi 23 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak untuk muncul sebagai gabungan keempat terbesar selepas Pakatan Harapan (PH) yang menguasai 82 kerusi, PN (73) dan BN (30).
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan