Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong seru calon, penyokong parti politik berhemah sepanjang kempen PRU15 M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Agong seru calon, penyokong parti politik berhemah sepanjang kempen PRU15 M'sia

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua calon dan penyokong parti politik supaya mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia, bermula dari hari penamaan calon pada 5 Nov.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong turut menasihatkan calon agar bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh tersebut hingga hari mengundi pada 19 Nov.

"Seri Paduka (Agong) mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh para calon dan penyokong mereka. Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen."

"Seri Paduka (Agong) menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni. Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara," katanya dalam kenyataan pada Khamis (20 Okt).

Encik Ahmad Fadil berkata pada hemat Al-Sultan Abdullah, kerjasama baik dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

Menurutnya Agong turut mengajak seluruh rakyat negara itu agar bersama mendoakan semoga perjalanan PRU15 lancar dan selamat.

"Semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah," katanya.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali di Istana Negara pada Rabu (19 Okt).

Semasa sesi menghadap itu, Agong berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak PDRM dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan PRU15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota.
SPR pada Khamis mengumumkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan peringkat Parlimen di seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, Pahang dan Perlis. Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan