Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong sekali lagi gesa parlimen M'sia sidang secepat mungkin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Anggaran Waktu Membaca:
Agong sekali lagi gesa parlimen M'sia sidang secepat mungkin

Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 Jun 2021 06:18PM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 06:20PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan pandangan itu susuli sesi menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada Selasa (29 Jun) serta lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu.

Turut hadir pada sesi pertemuan yang berlangsung selama satu jam sejak 11.00 pagi adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dan Encik Mohd Rashid Hasnon.

"Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

"Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya," kata Encik Ahmad Fadil.

Encik Ahmad Fadil menambah bahawa Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

"Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan