Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong, Permaisuri hiasi siaran Buletin Utama TV3 sebagai pembaca berita

Anggaran Waktu Membaca:
Agong, Permaisuri hiasi siaran Buletin Utama TV3 sebagai pembaca berita

Tangkapan skrin daripada siaran Buletin Utama TV3. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Jan 2024 04:22PM Dikemas Kini : 18 Jan 2024 04:23PM
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Rabu malam (17 Jan) menghiasi siaran Buletin Utama TV3 apabila menjadi pembaca berita diraja.

Menerusi slot khas dipanggil Buletin Diraja TV3, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menunjukkan bakat membaca berita pada rancangan mula bersiaran 8.00 malam itu.

Pasangan diraja itu tampil hampir 15 minit membaca berita berkaitan perpaduan masyarakat majmuk dan ternakan ikan patin buah di Pahang, selain laporan liputan lawatan mereka ke Sri Pentas terletak di Bandar Utama, lapor agensi berita Free Malaysia Today.

“Macam muka kenal je nie,” seloroh Tunku Azizah yang ditujukan kepada Sultan Abdullah dalam klip video tular di media sosial, dipetik daripada Free Malaysia Today.

Sultan Abdullah dari Pahang yang akan menamatkan penggal pemerintahannya pada 30 Jan depan sememangnya dikenali sebagai pemerintah dekat dengan rakyat.

Keprihatinan Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah jelas terserlah sewaktu Kembara Kenali Borneo selama 11 hari, dengan menjelajah Sabah serta Sarawak termasuk menggunakan laluan harian digunakan ramai untuk mendengar masalah rakyat.

Rombongan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memulakan perjalanan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 Sep lalu sebelum mengakhiri penjelajahan 11 hari di Telok Melano, Selatan Sarawak pada 13 Sept lalu.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 27 Okt lalu mengisytiharkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya, manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah diumum sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong, menurut laporan Free Malaysia Today.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan