Agong perkenan tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja semak kedaulatan Pedra Branca
Sultan Ibrahim hari ini (14 Feb) memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.
Pedra Branca. (Gambar fail: TODAY)
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini (14 Feb) memaklumkan penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Menurut kenyataan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bersama dengan Ketua Pengarah BHEUU JPM Zamri Misman hari ini menghadap dan menyembah maklum Sultan Ibrahim tentang cadangan kerajaan mengenai penubuhan RCI berkenaan.
“Seri Paduka Baginda juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali sebagai Timbalan Pengerusi,” menurut BHEUU.
Lima lagi ahli RCI ialah Pengamal Undang-Undang Dr Baljit Singh Sidhu, bekas Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran Prof Dr Faridah Jalil, Pegawai Kewangan Negeri Johor Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah.
Sultan Ibrahim turut memperkenan Zamri sebagai Setiausaha RCI, manakala BHEUU JPM pula akan bertindak sebagai urus setia.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Pedra Brana boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.
Encik Anwar pada Disember lepas turut meminta Peguam Negara ketika itu, Idrus Harun mengadakan rundingan dengan pemerintah Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pedra Branca.
Arahan itu meminta Encik Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Pedra Branca yang sudah diserahkan kepada Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pedra Branca, manakala Middle Rocks yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik South Ledge, kira-kira empat kilometer dari Pedra Branca, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada 25 Januari menjawab pertanyaan Mediacorp dengan menyatakan RCI adalah "urusan dalam negara Malaysia".
"Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang boleh menjejas hubungan dua hala yang baik antara Singapura dengan Malaysia," menurut seorang jurucakap MFA pada waktu itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.