Skip to main content

Dunia

Agong Malaysia zahir penghargaan kepada Raja-Raja Melayu, esok bakal pilih pengganti baharu

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis (26 Okt) menzahirkan penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu, yang membolehkan pelbagai peristiwa dan dugaan melanda Malaysia dalam tempoh hampir lima tahun sejak 2019 dapat diatasi Seri Paduka. 

Al-Sultan Abdullah, yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari tahun depan, bertitah walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-Raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata. 

“Sama ada ketika berhadapan kemelut politik dan pandemik COVID-19, sepanjang Paduka Adinda memerintah negara; Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu untuk memerintah Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh ketelusan hati.

“Paduka Adinda juga amat bersyukur dan berterima kasih di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara untuk berbincang dan bersama berganding bahu dalam melontar buah pandangan yang bernas demi untuk membantu dalam mencapai jalan penyelesaian buat negara dan kesejahteraan rakyat jelata,” titah Seri Paduka. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara pada Khamis.

Mesyuarat yang berlangsung sejak Rabu (25 Okt)dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi sokongan padu Raja-Raja Melayu sepanjang pemerintahan Seri Paduka, ia akhirnya membawa negara dan rakyat jelata dilindungi daripada  terus terjerumus ke kancah yang tidak menentu.

“Hakikatnya, institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah sekadar simbolik semata-mata. Ia adalah pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada hemat Seri Paduka, Raja-Raja Melayu secara kolektif merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Al-Sultan Abdullah turut menyorot beberapa peristiwa sepanjang tempoh Seri Paduka memerintah, antaranya apabila negara diselubungi dengan penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata, sehingga Proklamasi Darurat terpaksa diisytiharkan dan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Terpahat dalam lipatan sejarah negara bahawa Seri Paduka merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri, bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

Pada Jumaat (27 Okt), Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) akan diadakan bagi Raja-Raja Melayu membuat pengundian memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong baharu.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita