Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong mahu parti politik bersatu hadapi COVID-19, pulihkan ekonomi: Anwar Ibrahim

Pertemuan pemimpin parti-parti politik Malaysia dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selesai kira-kira 4 petang Selasa (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Agong mahu parti politik bersatu hadapi COVID-19, pulihkan ekonomi: Anwar Ibrahim

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 17 Aug 2021 06:23PM Dikemas Kini : 17 Aug 2021 06:24PM

KUALA LUMPUR: Pertemuan pemimpin parti-parti politik Malaysia dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selesai kira-kira 4 petang Selasa (17 Ogos).

Antara yang hadir Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir; Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut dipanggil menghadap adalah Presiden PKR Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal manakala semua presiden parti komponan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadiri pertemuan itu secara maya.

Difahamkan turut berangkat bersama dalam pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 2 petang tadi adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, yang menemui pemberita selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu berkata, Sultan Abdullah menasihati semua parti politik agar bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Sultan Nazrin pula menekankan mengenai muafakat politik baharu yang lebih aman dan damai demi rakyat.

“Jadi kita harus menjurus semula ke arah pembangunan. Ini bukan sahaja isu lantikan Perdana Menteri baru dan Timbalan Perdana Menteri baru.

“Semua parti politik beri pandangan masing-masing tetapi semuanya ada satu fahaman yang konsensus untuk hentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan...,” katanya, yang turut diiringi Lim dan Mohamad.

Lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa ‘berkampung’ di pekarangan Pintu Dua Istana Negara bagi membuat liputan mengenai pertemuan di Istana Negara itu, berikutan perkembangan terkini politik negara yang membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Semalam, Sultan Abdullah menerima peletakan jawatan Muhyiddin dan jawatan seluruh Jemaah Menteri.

Agong juga berkenan untuk Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara atau 'caretaker' sehingga perdana menteri baru dilantik.

Sumber : Bernama/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan