Skip to main content

Dunia

Agong gesa kerajaan M'sia redakan keadaan berhubung isu guna kalimah Allah

Anggaran Waktu Membaca:
Agong gesa kerajaan M'sia redakan keadaan berhubung isu guna kalimah Allah

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Jun 2023 03:09PM
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kemarahan berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

Menurutnya memandangkan polemik penggunaan kalimah Allah, bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

“Kerajaan Beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,”katanya.

Al-Sultan Abdullah berkata demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin (5 Jun).

Sebarang polemik katanya yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani dengan segera, adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah berkata dalam berhadapan dengan isu sensitif sedemikian, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi.

Ia selaras dengan prinsip pertama rukun negara iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang antara lain menekankan bahawa konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan, dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan,” kata Agong.

Perpaduan tambahnya memerlukan resipi yang efektif dengan hati yang terbuka jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja serta negara selain, tidak mempersoal dan mencampuri serta memandang rendah urusan dan kepercayaan agama yang diamalkan bangsa lain.

“Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera."

“Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah, dibaja, disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi," tambah Al-Sultan Abdullah.

 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita